Friday, October 7, 2022

Media – Polis jangan saling tuding jari, harus bekerjasama dan memahami tugas masing-masing – TPM

Secara Rawak

PUTRAJAYA: “ Usah saling menuding jari sebaliknya harus bekerjasama, berkomporomi dan memahami tugas masing-masing,” itu nasihat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kepada pihak media dan pihak penguatkuasa di negara ini.

Menurutnya, agensi-agensi penguatkuasaan harus memahami tugas media, yang antara lainnya bertujuan memberi kesedaran mengenai agensi berkenaan kepada masyarakat.

“Tetapi jangan pula laporan mengenai sesebuah agensi penguatkuasaan disalahertikan, kerana dalam  dunia tanpa sempadan kini, media berperanan memberi liputan dan pendedahan mengenai agensi penguatkuasaan.

“Ada antara liputan media terhadap agensi penguatkuasaan yang membawa sanjungan berikutan kejayaan yang dicapai namun, ada juga media yang melaporkan sebaliknya,” katanya ketika berucap kepada 1,000 tetamu yang menghadiri majlis berbuka puasa Timbalan Perdana Menteri bersama-sama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan media di kediaman rasminya Sri Satria di sini, malam tadi.

Menurut Ahmad Zahid, laporan media seharusnya tidak dilihat bertujuan negatif tetapi sebagai peringatan supaya kita  menggunakan kuasa dan bertindak mengikut tatacara yang ditetapkan.

“Tetapi, kadang-kadang tulisan yang baik disalahertikan pula oleh khalayak,” katanya sambil menyindir tentang beberapa laporan yang disensasikan dan dimanipulasi oleh golongan yang tidak bertanggungjawab.

Ahmad Zahid berkata, beliau menganjurkan majlis berbuka puasa PDRM dan media bagi mengeratkan lagi hubungan di antara kedua-dua pihak.

“Sebagai orang yang bertanggungjawab dalam soal keselamatan, saya harus mengambil kepedulian tentang usaha agensi penguatkuasaan, dan pada waktu sama, saya juga harus menjaga dengan baik rakan-rakan media yang membuat liputan berita.

“Saya harap dengan apa yang akan kita hadapi pada waktu-waktu mendatang , dapat membolehkan hubungan (dijalin) lebih baik,” katanya.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid dan isteri Datin Seri Hamidah Khamis turut menyampaikan sumbangan kepada 101 pelajar dan guru dari Maahad Tahfiz Akademi Iqra, Kajang. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru