Maklumkan polis jika rumah anda kosong ketika musim cuti Aidilfitiri – Ketua Polis Kuching

0
7

KUCHING: Orang ramai yang hendak pulang ke kampung atau bercuti sempena cuti sambutan Aidilfitri pada hujung minggu pertama bulan hadapan diminta untuk memaklumkan kepada pihak polis akan kekosongan kediaman mereka.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai berkata, orang ramai boleh berbuat demikian dengan mengisi borang yang disediakan, selain menghubungi talian 15888

bagi membolehkan pihak polis mengadakan tumpuan kawalan dan gandaan pemeriksaan di kawasan kediaman yang terlibat.

“Ini merupakan kesiapsiagaan kita dalam menggerakkan Op Selamat, kerana ia tidak tertumpu kepada kesalahan trafik semata-mata,” katanya pada sidang media khas di pejabatnya di sini semalam.

Op Selamat peringkat negeri akan dilancarkan pada 29 Jun ini di Kota Samarahan.

Berkaitan operasi tersebut, Abang Ahmad berkata, pemandu-pemandu diminta untuk lebih berwaspada dan sentiasa mematuhi peraturan jalan raya ketika musim perayaan ini.

“Kita akan memberi tumpuan kepada lapan kesalahan utama dan ini termasuklah menahan dan menyaman mereka yang tidak memiliki lesen memandu, memandu terlampau laju hingga melepasi had serta mereka yang memotong giliran.

“Kita juga tidak akan berkompromi kepada mereka yang melanggar lampu isyarat serta pemilik kenderaan yang mempunyai plat kenderaan yang tidak mematuhi spesifikasi yang ditetapkan.

“Mereka yang tidak memakai tali pinggang keledar dan menggunakan alat komunikasi ketika memandu juga akan disaman,” katanya lagi.

Abang Ahmad menegaskan, pihak polis tidak akan berkompromi atau melayan sebarang permohonan untuk mengurangkan saman ketika ini, atas arahan pihak atasan.

Sementara itu, sehingga 15 Jun lalu, sebanyak 2,248 kemalangan jalan raya telah dicatatkan di Daerah Kuching,  meningkat 217 kes berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.

“Daripada jumlah tersebut, 14 maut, 7 parah dan 7 cedera ringan berbanding 12 maut, 25 parah dan 4 cedera ringan dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Sehubungan itu, Abang Ahmad menasihati orang ramai agar merancang perjalanan mereka setiap hari serta meningkatkan tahap kewaspadan semasa memandu, serta mengelakkan memandu dalam keadaan yang tidak selamat. – Sarawakvoice.com