Tuesday, December 6, 2022

Ketua Polis Negara enggan siasat dakwaan kononnya wang tebusan RM12 juta libatkan anggota polis Malaysia, kerana isu wang tersebut telah diperjelas

Secara Rawak

KUALA LUMPUR:  Enggan memanjangkan isu wang tebusan RM12 juta bagi menebus empat mangsa culik militan Abu Sayyaf yang berasal dari Sibu, Sarawak, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar semalam menegaskan pihaknya tidak akan menjalankan sebarang siasatan dalaman berhubung kes tersebut.

Menurutnya, siasatan dalaman terhadap pihak polis yang dikatakan terlibat adalah tidak perlu kerana wang tersebut tidak melalui tangan mereka.

“Kenapa mesti menimbulkan persoalan tersebut sekarang? Saya telah menjelaskan apa yang berlaku kepada wang tunai itu.

“Tidak ada alasan untuk kita menjalankan siasatan kerana kita tidak terlibat pun (dalam proses pembayaran),” katanya kepada media di Bukit Aman semalam.

Tegasnya lagi, polis tidak akan menjalankan sebarang siasatan kerana tahu di mana duit itu pergi dan telah memberikan penjelasan mengenainya.

“Saya tidak akan mengulangi kembali apa yang telah dijelaskan sebelum ini,” katanya.

Sebelum ini Khalid dipetik berkata, wang tersebut telah dikumpul oleh keluarga mangsa dan diserahkan kepada pihak ketiga di selatan Filipina dan bukan kepada polis Malaysia di Sandakan seperti yang dilaporkan.

Bagaimanapun persoalan yang besar wujud setelah berlaku percanggahan kenyataan di antara Khalid dan Timbalan Perdana Menetri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung status wang RM12 juta tersebut.

Akhbar Filipina, ‘The Manila Times’ semalam melaporkan bahawa penculik Abu Sayyaf hanya menerima 100 juta peso atau RM8.8 juta berbanding 130 juta peso atau RM12 juta seperti yang dijanjikan sebagai syarat pembebasan keempat-empat mangsa culik tersebut.

Zahid sebelum ini mengesahkan bahawa RM12 juta itu telah diberikan oleh pihak keluarga kepada anggota Cawangan Khas untuk diserahkan kepada badan kebajikan di Filipina yang enggan didedahkan.

Dalam kejadian penculikan pada 1 April lalu, dua beradik

Wong Teck Kang, 31 tahun, dan Wong Teck Chii, 29 tahun, sepupu mereka Johnny Lau dan rakan, Wong Hung Sing, 34 tahun telah diculik  daripada  kapal tunda ‘MV Massive 6’, di kawasan perairan Pulau Ligitan ketika dalam perjalanan balik ke Tawau, Sabah, selepas menghantar muatan kayu ke Manila.

Mereka hanya dibebaskan pada 8 Jun lalu, setelah sejumlah wang RM12 juta diserahkan oleh pihak keluarga kepada penculik. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru