Monday, November 28, 2022

Dr Mahathir sudah hilang bisa, kata Pas

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad yang sekarang, bukanlah Tun Dr Dr Mahathir yang dahulu.

Kini, Dr Mahathir sudah kehilangan taring atau bisanya.

Setidak-tidaknya itulah tanggapan Ketua Pergerakan Dewan Pemuda Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz terhadap mantan Perdana Menteri itu.

Beliau berkata, taring bekas Perdana Menteri itu sudah tercabut, justeru tidak lagi mempunyai pengaruh besar seperti sebelum ini.

Meskipun Dr Mahathir turun padang membantu kempen Pakatan Harapan dalam pilihan raya kecil (PKR) Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar, sokongan beliau terhadap calon Amanah dianggap tidak memberi kesan sehingga Barisan Nasional menang besar di kedua-dua kerusi berkenaan.

Oleh itu, Nik Abduh yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, mahu Dr Mahathir memperbanyak ibadat.

“Jika Dr Mahathir kembali kepada Allah dengan taubat yang benar, itulah sebaik-baik kehidupan di hujung hayat. Saya mendoakannya,” katanya menerusi entri terbaharu bertajuk ‘Catatan di Tepian Kubur’ di Facebooknya.

“Saya sarankan Dr Mahathir banyakkan berada di tikar sejadah dan di hadapan Kaabah. Zaman kekuatannya ketika bertempur dengan Almarhum ayahanda TGNA (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) sudah berakhir.

Beliau berkata PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar adalah laporan awal kekuatan PAS selepas berjaya melepasi krisis dalaman yang menyaksikan terkeluarnya anasir lemah serta buruk yang berusaha mengubah hala tuju perjuangan parti itu.

Beliau berkata, selepas PAS mengukuh kembali dalam tempoh setahun dengan barisan kepemimpinan baharu yang begitu bersatu menerajui parti, PRK kali ini adalah peluang terbaik PAS melihat tahap sokongan dan kekuatannya di bawah.

Pas bukan sahaja bertempur dengan calon BN di dua kerusi Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar, tetapi juga dengan parti serpihannya, Amanah.

BN menang dengan majoriti undi menakjubkan dalam pilihan raya kecil Parlimen Sabtu lalu.

“Ketika PAS bersama DAP, PAS dituduh UMNO sebagai tunggangan DAP.

Ketika PAS berpecah dengan DAP, PAS dituduh DAP sebagai tunggangan UMNO. Sebagaimana PAS berjaya keluar daripada tuduhan pertama, PAS pastinya akan berjaya keluar daripada tuduhan kedua dengan selamat dan sejahtera,” katanya.

Bagi beliau, tuduhan itu akan lebih mudah dihilangkan kerana Pas tidak mengikat sebarang perjanjian dengan UMNO seperti ikatannya dengan DAP ketika dalam Pakatan Rakyat dulu.

“PAS tunggangan UMNO hanyalah persepsi murahan golongan lemah yang terpelanting akibat disantau mabuk ‘Road To Putrajaya’,” katanya. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru