Friday, October 7, 2022

Calon pilihan raya PKR Bekenu ditembak mati berhampiran Emart Miri, 11 gambar di lokasi kejadian

Secara Rawak

KUCHING: Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Dun Bekenu, Bill Kayong maut hari ini setelah ditembak  8.30 pagi tadi.

Mangsa dipercayai bertolak dari rumahnya di Senadin menuju ke pejabatnya di Permyjaya.

Bill, 43, dilaporkan ditembak pada leher dan ditemui rebah pada tempat duduknya.

Bill yang juga Setiausaha PKR Cabang Miri mati serta-merta dalam pacuan empat roda Toyota Hilux berlogo PKR yang dipandunya.

Arah tembakan dikatakan adalah dari sebelah tingkap pemandu.

Difahamkan beliau telah ditembak di lampu trafik berhampiran pusat beli-belah E-mart di Jalan Permyjaya-Kuala Baram di Senadin, Miri ketika menunggu lampu isyarat bertukar hijau.

Kejadian itu menggemparkan bukan sahaja penduduk di bandar minyak itu, tetapi juga seluruh Sarawak.

Ramai yang terkejut dengan kejadian yang menimpa  beliau yang juga Setiausaha Persatuan Dayak Sarawak (Pedas).

Penembak berhati tega itu mencetuskan kemarahan orang ramai bagaimana kejadian seumpama itu boleh berlaku di Miri.

Rakan-rakan Bill kini berhimpun di rumah beliau di Senadin untuk mengetahui perkembangan lanjut tentang kes berkenaan.

Polis masih mengumpul maklumat mengenai kejadian tersebut.

Dalam Pilihan Raya Negeri 7 Mei lalu Bill yang memperoleh 1220 undi kalah kepada Rosey Yunus (BN) yang mendapat 6,009 undi. Dua calon lain ialah calon bebas,
Peter Jelin dan Austin Sigi.

Kayong juga merupakan setiausaha PKR Cabang Miri dan setiausaha politik kepada Ahli Parlimen Miri, Dr Michael Teoh.

Semasa Pilihan Raya Negeri Sarawak yang lalu, beliau telah bertanding di kerusi DUN Bekenu di mana beliau tewas kepada calon Barisan Nasional (BN) Rosey Yunus dalam pertandingan empat penjuru.

Kayong dikenali sebagai seorang yang lantang dalam menyuarakan isu-isu masyarakat termasuk isu tanah adat.

Dalam pada itu, PKR dalam satu kenyataan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang.

Parti itu juga menggesa pihak polis supaya memberkas dan membawa mereka yang terbabit ke muka pengadilan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ)  Senior Asisten Komisioner (SAC)  Dev Kumar dalam satu kenyataan berkata, kes tersebut diklasifikasikan sebagai kes bunuh di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau merayu kepada saksi mata yang telah melihat kejadian itu supaya tampil ke hadapan untuk membantu polis.

Katanya, persimpangan trafik berkenaan biasanya sibuk pada sebelah pagi, dan “kami percaya banyak pemandu menyaksikan kejadian itu.”

Beliau turut merayu kepada orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi, dan memberi jaminan bahawa polis akan menjalankan penyiasatan sebaik mungkin. – Sarawakvoice.com

TERKINI: Bill ditembak ketika dalam perjalanan ke pejabat, 2 video di lokasi kejadian

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru