KUCHING: Polis Sarawak sebentar tadi mengesahkan bahawa mangsa yang ditembak mati menggunakan senjata api jenis shotgun di persimpangan lampu isyarat di Lutong , Miri, jam 8.30 pagi tadi adalah Bill anak Kayong, 43 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, SAC Dev Kumar dalam satu kenyataan kepada media berkata, mangsa ditembak dari jarak dekat oleh lelaki yang tidak dikenali di dalam kenderaan Toyota Hilux miliknya, ketika dalam perjalanan dari rumahnya di Senadin menuju ke pejabatnya di Permyjaya di Miri.

“Kami mengklasifikasikan kes ini sebagai bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Menurut Dev, pihaknya merayu kepada saksi kejadian agar tampil ke hadapan bagi membantu siasatan pihak polis.

“Kawasan lampu isyarat itu lazimnya sibuk pada waktu pagi dan kita percaya banyak pengguna lalu lintas yang menyaksikan kejadian tersebut,” katanya lagi.

Kata Dev lagi, polis merayu kepada orang ramai untuk tidak menyebarkan spekulasi tentang motif tembakan.

“Kami memberi jaminan bahawa kami akan menjalankan siasatan terperinci dari semua aspek untuk menyelesaikan kes ini,” jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg ketika dimaklumkan tentang kejadian tersebut berasa sedih dan kesal dengan apa yang berlaku.

“Kita tidak pasti apakah motif di sebalik pembunuhan itu tetapi saya percaya ia bukanlah kerana politik.

“Bukan menjadi budaya kita untuk melakukan perbuatan sebegini kerana politik, melainkan ada perkara-perkara lain,” katanya di pejabatnya di Wisma Sultan Tengah dekat sini.

Sementara itu, PKR Sarawak dalam satu kenyataan berkata, kejadian ini merupakan sesuatu yang amat menyedihkan, dan tindakan yang kejam seperti ini harus dihentikan.

“Seorang anak Sarawak yang berani dan prihatin kepada rakyatnya telah mati di tangan orang yang tidak bertanggungjawab. Bill merupakan sahabat kepada SAVE Rivers. “ – Sarawakvoice.com