Monday, November 28, 2022

Anwar Ibrahim, Wan Azizah tuntut pembunuh Bill Kayong segera dikesan, ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan

Secara Rawak

Berikut merupakan kenyataan bersama Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengenai pembunuhan setiausaha PKR Cabang Miri, Bill Kayong:

KEADILAN dikejutkan dengan kes pembunuhan saudara Bill Kayong, Setiausaha Politik YB Dr Michael Teoh, Ahli Parlimen Miri, dan mantan calon KEADILAN bagi kerusi N71 Bekenu pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 yang lalu.

Mengikut laporan awal, beliau telah mati ditembak di lampu trafik berhampiran Emart One-Stop Shopping Mall di Senadin, Miri, di dalam kenderaan pacuan empat roda yang ada lambang KEADILAN.

Saudara Bill Kayong seorang aktivis dan anggota KEADILAN yang komited kepada agenda Reformasi. Beliau sering mengangkat isu-isu yang dekat di hati rakyat Sarawak, termasuklah isu hak tanah adat yang beliau kerap bangkitkan sewaktu PRN yang lalu.

Pada ketika ini, motif jenayah pembunuhan ini belum lagi dikenal pasti. Walau bagaimanapun, KEADILAN menggesa semua pihak untuk bersabar dan menunggu kenyataan penuh dari pihak Polis Di-Raja Malaysia. KEADILAN turut menggesa agar mereka yang terlibat dalam pembunuhan kejam ini segera dikesan, ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan.

Bagi pihak keluarga besar KEADILAN, kami merakamkan ucapan takziah buat keluarga saudara Bill Kayong. Semoga keluarga mendiang terus sabar dalam menghadapi ujian dan dugaan yang amat mencabar ini.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil menerusi laman Facebooknya menggesa  pihak polis agar dapat memberkas penjenayah ke muka pengadilan.

“Keadilan menggesa agar pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberkas dan membawa mereka yang terlibat dalam jenayah ini ke muka pengadilan,” katanya.

Katanya,  Keadilan juga mengucapkan takziah kepada keluarga Bill dan semoga mereka tabah menghadapi dugaan yang cukup besar ini.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru