Sunday, September 25, 2022

Profesor Ridhuan lebih suka Cina Sarawak, Sabah jadi menteri ganti pemimpin  Cina MCA

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Pensyarah kontroversi Profesor Ridhuan Tee Abdullah hari ini  berkata beliau  lebih suka pemimpin Cina Barisan Nasional dari Sabah dan Sarawak dilantik menjadi menteri menggantikan MCA, kerana mereka lebih memahami kehidupan bermasyarakat majmuk daripada parti ini.

Bagi Ridhuan, sudah sampai masanya MCA membina kekuatan di kawasan majoriti Cina, bukan menumpang undi ihsan orang Melayu.

Katanya: “Jangan jadikan Melayu serba salah untuk mengundi apabila MCA bertanding di kawasan majoriti Melayu. Akhirnya, pembangkang menang, MCA kalah.”

Justeru, kepada pemimpin Umno, beliau menasihati jika MCA masih berkeras untuk bertanding di kawasan Melayu sebelum ini dan meminta lagi kawasan baharu, yang mana kita sudah tahu dengan meletak MCA akan kalah, maka jangan dilayan sebelum Umno hilang kuasa pada PRU akan datang.

Katanya, punca segalanya adalah ekonomi kerana  MCA takut perniagaan mereka terjejas jika Islam dilaksanakan.

“Jangan sama sekali kerajaan luluskan sebuah lagi bank MCA, Bank Koperasi Kojadi. Jika lulus, akan berleluasa lagilah perniagaan haram mereka dan menjadi ancaman kepada negara dan Melayu,” katanya dalam kolum akhbar Sinar Harian, hari ini.  

“Jika MCA ikhlas, buktikan dengan menyokong RUU 355 ini. MCA tidak rugi apa-apa sebab MCA akan terus menang di kawasan majoriti Melayu yang ditandingi. Kecuali MCA boleh buktikan mereka boleh menang satu kerusi di kawasan majoriti Cina,” tambahnya.

Baru-baru ini, Ridhuan mengumumkan keluar daripada MCA kerana tidak setuju dengan keputusan parti itu menentang hukum hudud. Pemimpin MCA sering dilabelnya sebagai ultra kiasu.

Ridhuan merupakan antara aktivis yang disekat daripada memasuki Sarawak oleh pihak imigresen kerana pendiriannya yang disifatkan ekstrem. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru