Tuesday, December 6, 2022

Hanya RM8.8 juta dibayar kepada Abu Sayyaf, mana pergi wang lebih?, kata akhbar Filipina

Secara Rawak

KOTA KINABALU: Sebuah akhbar Filipina melaporkan hari ini, hanya RM8.8 juta (P100 juta) diserahkan kepada kumpulan Abu Sayyaf sebagai tebusan.

Kata akhbar Manila Times, wang selebihnya daripada RM12 juta yang dikutip oleh keluarga empat orang mangsa menimbulkan banyak kesangsian.

Memetik dua orang pegawai tinggi Filipina, akhbar itu berkata, pembayaran pampasan telah disahkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zahid Hamidi.

Datuk Lau Cheng Kiong, bapa saudara kepada Johnny Lau Jung Heing, salah seorang mangsa culik kumpulan bersenjata Abu Sayyaf sebelum ini menyatakan wang derma RM12 juta bagi pembebasan keempat-empat mangsa culik telah diserah kepada pihak berkuasa Sabah.

Daripada jumlah tersebut, RM1 juta hasil cagaran dua rumah keluarga mangsa di Pulau Li Hua, manakala RM2 juta disumbangkan dua syarikat kapal.

Baki RM9 juta merupakan hasil kutipan derma orang ramai termasuk penderma luar negara termasuk Papua New Guinea, Taiwan, Pulau Solomon dan China.

“Kami tidak menyimpan wang tersebut walau satu sen pun kerana ia telah diserahkan kepada pihak berkuasa di Sabah pada 24 Mei lalu bagi semua urusan berkaitan,” katanya kepada media beberapa hari lalu.

.“Ia merupakan isu panas di Malaysia. Pembayaran wang tebusan merupakan antara tajuk berita mereka, tetapi menghairankan, ia belum lagi mendapat perhatian media Filipina. Kami mendapat maklumat Kumpulan Abu Sayaff begitu berang selepas mengetahui jumlah wang sebenarnya ialah RM12 juta, iaitu sama dengan P130 juta, tetapi hanya P100 juta sampai di tangan mereka,” seorang daripada pegawai kanan, yang enggan disebut nama memberitahu, The Manila Times.

“Persoalannya, ke mana perginya wang selebihnya,” kata sumber berkenaan.

“Daripada apa yang kami tahu, seorang pegawai kerajaan tempatan di Sulu terbabit dalam perundingan. Adalah menjadi pengetahuan umum di Malaysia bahawa P30 juta dibayar sebagai tebusan untuk mangsa-mangsa sebelum ini. P130 juta adalah yang tertinggi setakat ini,” kata sumber lain yang dipetik akhbar itu.

Pihak polis Malaysia telah menafikan bahawa tebusan dibayar untuk membebaskan empat mangsa culik dari Sarawak.

“Mengapa mereka begitu pasif? Sudah pasti, terdapat kerumitan di sini. Sebahagian besar jawapan dapat diberi oleh Gabenor Sulu [Abdusakur Tan],” kata sumber itu lagi.
Akhbar itu melaporkan beberapa orang mangsa culik masih lagi dalam tahanan Abu Sayyaf, termasuk teman wanita Robert Hall, Maritess Flor dan seorang warganegara Norwegia Kjartan Sekkingstad. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru