KUCHING: Meskipun Pilihan Raya Negeri (PRN) 11 Sarawak telah berlalu, tidak bermakna pemimpin dapat tidur lena dan bersenang-lenang, lantaran melupakan nasib rakyat.

Malah, sebagai pemimpin yang bertanggungjawab dan diberi mandat kepercayaan oleh pengundi, mereka perlu rajin turun padang bagi mengenal pasti masalah yang membelenggu rakyat dan mencari jalan keluar mengatasi dan menyelesaikannya.

Menteri Kerajaan Tempatan Datuk Dr Sim Kui Hian semasa berucap pada program menyampaikan bubur pedas vegetarian di Masjid Darul Ibadah di Bata Kawa di Kuching pada Sabtu berkata, sikap turun padang hanya pada musim pilihan raya dan menghilang diri selepas itu tidak harus wujud di kalangan pemimpin.

Bagi Dr Sim pemimpin mempunyai tanggungjawab yang perlu ditunai kepada rakyat khususnya berkaitan janji yang sudah ditabur semasa tempoh meraih undi dalam PRN11 Sarawak yang lepas.

“Setiap wakil rakyat harus turun padang bagi menyelami keperluan dan melihat nasib rakyat kawasan masing-masing dari semasa ke semasa,” kata Dr Sim.

Pada PRN11 Sarawak yang lepas Barisan Nasional membentuk Kerajaan Negeri selepas berjaya memenangi 72 kerusi daripada 82 kerusi yang dipertandingkan.

Bagi kerusi DUN Batu Kawa, Dr Sim yang juga Presiden SUPP meraih 6,414 undi dalam pertandingan tiga penjuru menentang penyandang kerusi tersebut Christina Chiew Wang See (4,329 undi) dan calon bebas Liu Thian Keong (1,109 undi).

13497694_286026211732258_1019653893808687321_o

Dr Sim mengaut majoriti 2,085 undi.

Menghargai kemenangan tersebut, Dr Sim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawa memasang ikrar sendiri membantu rakyat serta bersedia menyelesaikan masalah di DUN beliau.

Dr Sim bertekad bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam memastikan sebarang isu diselesaikan sesegera mungkin.

Pada program menyampaikan bubur pedas vegetarian anjuran Persatuan Kebajikan Petra Jaya (PKPJ) sebanyak 400 pek bubur pedas diagihkan kepada penduduk Batu Kawa dan Batu Kitang sempena puasa Ramadan 1437H kali ini.

Pada majlis yang sama, Pengerusi PKPJ Datin Amar Juma’ani Tuanku Bujang dalam ucapannya berkata, program seperti ini memberi peluang kepada orang ramai daripada pelbagai latar belakang menikmati juadah bubur pedas vegetarian.

Keistimewaan bubur pedas vegetarian ialah, menu popular tersebut diubah suai dari segi penyediaannya yang terdiri daripada sayur-sayuran agar dapat dinikmati oleh pengamal vegetarian tanpa was was.

“Secara simbol, penyediaan bubur pedas vegeterian ini adalah cara menunjukkan sikap toleransi masyarakat Melayu dalam masyarakat majmuk, sedia mengubah resipi tradisional bagi membolehkan ia dimakan semua kaum yang ingin mencuba keunikan rasanya,” kata Juma’ani. – Sarawakvoice.com