KUCHING:  Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Sarawak hari ini menyifatkan kemenangan besar BN dalam dua pilihan raya kecil (PRK) di Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar semalam membuktikan rakyat meyakini rekod cemerlang yang dipegang BN selama ini dan menolak politik kebencian dan pecah belah yang dibawa pembangkang.

Ia juga bukti jelas bahawa rakyat tetap menyokong kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib Razak selaku Perdana Menteri dan Pengerusi BN, katanya.

Menurut Datuk Seri Fadillah Yusof lagi, ia juga menggambarkan rakyat menerima baik dasar dan pendekatan kerajaan pimpinan beliau, walaupun pembangkang menggunakan pelbagai cara termasuk mendapatkan bantuan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk berkempen.

“Sama juga seperti rakyat di Sarawak dalam Pilihan Raya Negeri yang lalu yang menolak bulat-bulat kehadiran Pas dan Amanah di Sarawak, rakyat  di Sungai Besar dan Kuala Kangsar juga telah memberi isyarat jelas bahawa mereka menolak polemik Pas dan parti serpihannya. “

Sebaliknya katanya, rakyat telah memilih politik  kesejahteraan rakyat dan pembangunan berterusan yang dibawa oleh BN.

13406912_1211331068877919_3447586764853702635_n

“Malah sejak mengambil alih kepimpinan negara,  Perdana Menteri telah membuktikan sikap konsistennya dalam membela nasib rakyat di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Sambil merakamkan penghargaan dan tahniah kepada seluruh jentera BN dan kedua-dua Ahli Parlimen yang baharu, Budiman Mohd Zohdi (Sungai Besar) dan Datin Mastura Yazid (Kuala Kangsar), Fadillah yang juga Menteri Kerja Raya berkata, beliau akan bekerjasama penuh dengan kedua-dua wakil rakyat baharu ini dalam melaksanakan tanggungjawab mereka kepada rakyat.

“Ini termasuk memastikan pembinaan Jambatan di Manong, Kuala Kangsar, seperti diumumkan Perdana Menteri dan kerja-kerja naik taraf Jalan Persekutuan FR5 dari Tanjong Karang ke Sabak Bernam, Selangor dilaksanakan  mengikut jadual,” tambahnya. – Sarawakvoice.com