Uggah fokus untuk kembangkan industri penternakan ikan Empurau, yang mampu hasilkan pulangan lumayan

SERIAN: Jabatan Pertanian Sarawak mensasarkan untuk menghasilkan 60,000 benih anak ikan Empurau sepanjang tahun ini.

Menteri Pemodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar, Datuk Seri Douglas Uggah Embas berkata, sasaran ini adalah realisitik memandangkan pada tahun sebelumnya, jabatan tersebut menerusi Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Empurau di Stesen Pertanian Tarat, dekat sini berjaya menghasilkan sekitar 54,000  benih anak ikan tersebut.

Empurau merupakan spesies ikan termahal di negara ini dengan harga pasarannya menjangkau RM350 hingga RM900 sekilogram.

Ia aktif membiak sekitar bulan Ogos dan bagi menjaga kualitinya,  kesemua ikan pembenih yang digunakan merupakan ikan Empurau liar yang ditangkap daripada habitat semulajadi.

Ketika melawat pusat tersebut baru-baru ini, Uggah berkata, beberapa sesi sumbang saran akan diadakan bersama-sama petugas di lapangan bagi membolehkan beberapa penambahbaikan dapat dijalankan selepas ini dalam membiakkan spesies istimewa Sarawak ini.

“Saya  berjanji untuk datang kembali dan mahu melihat sendiri pelaksanaan saranan tersebut dalam masa terdekat,”katanya setelah mendengar pelbagai kejayaan serta cabaran sejak pusat itu ditubuhkan.

Pada Mac lalu, seorang peniaga ikan di Kapit berjaya menjual ikan empurau Baleh seberat 7.9 kg pada harga RM7,900,.

Ikan yang dijual Ong Ee Ching itu ditangkap di kawasan jeram di Baleh oleh nelayan tempatan.

“Ikan empurau ini  hanya mampu dibeli oleh golongan kaya dan tokoh politik untuk hidangan perayaan tertentu, dan kebanyakan pembelinya adalah dari Sibu, Kuching dan Kuala Lumpur,” jelasnya.

Pada 7 Mei tahun lalu,seorang peniaga ikan di Song, Chua Fun Tien untung RM15,000 setelah berjaya menjual ikan seberat 27 kg  yang ditangkap di Sungai Katibas. – Sarawakvoice.com