Tuesday, December 6, 2022

Penggunaan elektrik luar biasa rendah dedah kes curi elektrik oleh pemilik rumah berkembar di Sibu

Secara Rawak

SIBU: Jumlah penggunaan elektrik yang tidak munasabah menjadi punca pemilik dua buah rumah disiasat penguatkuasa Sarawak Sesco Berhad dan Unit Inspektorat Elektrik (EIU) Kementerian Kemudahan Awam, dan mendapati mereka terlibat dalam kegiatan mencuri elektrik.

Menurut kenyataan media Sarawak Energy Berhad hari ini, hasil pemeriksaaan pasukan penguatkuasa yang turut melibatkan pihak polis, pihaknya mendapati pemilik rumah berkembar di Jalan Jerwit, yang juga adik-beradik yang tinggal berjiran telah melakukan penyambungan elektrik secara haram.

“Kita mendapati sistem pendawaian elektrik ke kediaman tersebut telah diganggu dan disembunyikan dengan baik.

“ Namun dengan pasukan pemeriksa yang terlatih dan dilengkapi dengan instrumen yang mampu mengesan gangguan pendawaian, kita berjaya membongkarkan perbuatan mereka.

Setelah memperoleh waran geledah daripada Majistret, pasukan penguatkuasa  ini telah merampas pelbagai bahan bukti termasuk kabel torehan dan meter.

“Satu laporan polis juga telah dibuat untuk membolehkan tindakan susulan diambil terhadap kes tersebut,” kata kenyataan itu lagi.

Sementara itu, jurucakap Sesco berkata, “perbuatan itu mula dikesan apabila bacaan penggunaan elektrik bulanan premis itu mencatatkan jumlah yang luar biasa rendah untuk sebuah rumah berkembar, apatah lagi kediaman tersebut dilengkapi dengan beberapa unit penyaman udara serta beberapa peralatan elektrik berkuasa besar lain.

“Atas perbuatan inilah, kedua-dua pemilik akan dipanggil untuk membantu siasatan,” katanya.

Berdasarkan siasatan awal, proses pendawaian premis ini telah diganggu dari belakang papan meter dan juga pada bahagian yang sebahagiannya ditanam di bawah tanah.

“Pasukan pemeriksa malah terpaksa menggali ke dalam tanah untuk mengakses sistem pendawaian pada meter dan mendapatkan semula sambungan haram yang dilakukan melalui kontaktor elektrik.

Sesco akan terus bekerjasama rapat dengan EIU dan pihak berkuasa lain untuk membendung kecurian kuasa di Sarawak, kata jurucakap itu lagi.

Kegiatan mencuri elektrik adalah berbahaya, dan boleh membawa kepada kecederaan atau kematian. Pesalah yang terlibat boleh didakwa di bawah Seksyen 33 (5) Ordinan Elektrik yang membawa hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya.

Mereka yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti yang mencurigakan, yang melibatkan kecurian elektrik digalakkan untuk melaporkan  kepada Sesco melalui hotline 082-443535 ataucustomercare@sarawakenergy.com.my e-mel. Semua maklumat akan dirahsiakan. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru