Thursday, September 29, 2022

Pelarian Syria syukur dapat sambut Ramadan di Malaysia

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Pelarian Syria yang berlindung di Malaysia bersyukur dapat menyambut Ramadan dan berpuasa di negara ini dengan aman.

Zuher Ahmad Al-Halabi, 32, berkata beliau dan keluarganya berasa bertuah berpeluang tinggal di Malaysia yang mempunyai rakyat berbilang bangsa dan agama tetapi dapat hidup aman, damai dan harmoni.

“Saya rasa seperti berada di tanah air sendiri. Saya suka makanan di sini, orangya dan segala-galanya mengenai Malaysia. Kami sangat bersyukur,” katanya selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama sahabat-sahabat Syria di dewan Masjid Salahuddin Al-Ayyubi semalam.

13247826_1236288449717139_2073523312342252383_o

Majlis itu dianjurkan Malaysian Life Line for Syria dengan kerjasama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Global Peace Mission Malaysia.

Zuher Ahmad yang baru tiba di Malaysia kira-kira dua minggu lepas turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan serta rakyat Malaysia kerana menerima dan membantu mereka.

Bagi Ammar Fariz Azrulazon, 40, sambutan Ramadan di Malaysia merupakan satu perkara baru dan unik buat dirinya.

Beliau turut kagum dengan keharmonian di Malaysia tanpa sebarang pergolakan atau konflik.

Beliau amat berterima kasih atas segala sumbangan yang telah diberikan kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat Malaysia kepada mereka.

Setakat ini, seramai 79 pelarian Syria telah dibawa masuk ke Malaysia sejak 8 Disember lepas secara berperingkat-peringkat dan seramai 500 orang lagi dijangka tiba di negara ini sebelum akhir tahun ini.

Kumpulan pertama pelarian Syria seramai 11 orang yang terdiri daripada tiga keluarga tiba di tanah air pada 8 Disember 2015 manakala kumpulan kedua merangkumi 68 orang daripada 18 keluarga dari Kem Lembah Bekaa, Beirut, Lubnan tiba pada 28 Mei lepas.

Pada Oktober 2015, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada sesi ke-70 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengumumkan Malaysia akan membuka pintunya kepada 3,000 pelarian Syria dalam tempoh tiga tahun bagi membantu meringankan krisis pelarian.

Sementara itu, Presiden ABIM, Mohamad Raimi Abdul Rahim berkata, majlis berbuka puasa itu adalah usaha sektor swasta, NGO dan badan korporat untuk membantu pelarian Syria.

Beliau turut meminta lebih banyak NGO dan sektor swasta tampil memberi bantuan kepada pelarian Syria yang tinggal di negara ini.

Pada majlis berkenaan, pelarian Syria turut menerima sumbangan makanan seperti beras, bawang dan gula serta duit raya yang berjumlah RM30,000 keseluruhannya.

13417012_1236288503050467_8651017722694949732_o

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru