Tuesday, December 6, 2022

Ke mana sebenarnya pergi wang tebusan RM12 juta?

Secara Rawak

PUTRAJAYA: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menyangkal dakwaan bahawa pihak Polis Di-raja Malaysia telah menerima wang RM12 juta daripada keluarga mangsa culik yang dibebaskan untuk disalurkan kepada pihak ketiga.

Beliau turut menafikan bahawa pihak polis membayar wang tebusan bagi membebaskan empat pemuda dari Sibu, Sarawak.

Berkaitan wang tebusan yang didakwa diterima oleh Unit Cawangan Khas Polis, Khalid berkata: “Saya menafikan Cawangan Khas menerima wang itu. Itu kata family (mangsa). Ramai orang ketiga dengan mereka (keluarga mangsa), ada ejen.

“Tetapi, saya menegaskan kita (polis dan kerajaan) tidak memberi apa-apa kerjasama dalam membayar penculik ini wang tebusan. Saya pun tidak tahu saluran mana wang itu diberikan. Hanya keluarga yang tahu,” katanya.

Khalid berkata, polis hanya bertindak dalam memastikan mangsa selamat dan dapat kembali ke pangkuan keluarga.

Beliau berkata pihak polis telah melakukan yang terbaik  bagi membawa pulang mangsa culik itu dengan selamat.

Katanya, keluarga mangsa telah dihubungi pelbagai pihak ketiga untuk rundingan membantu membebaskan empat mangsa, dan pihak polis turut memastikan keselamatan keluarga mangsa dijamin ketika rundingan pembebasan dibuat.

“Keluarga mangsa  dibawa ke Bandar Zamboanga, Filipina untuk menemui pihak di sana. Memang benar pihak polis dan polis Filipina bantu atas dasar keselamatan semasa mereka pergi ke bandar itu,” tambahnya.

Beliau  turut tidak menolak kemungkinan keluarga mangsa dihubungi oleh pihak yang mendakwa sebagai daripada Cawangan Khas untuk mengambil kesempatan.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan tiada wang tebusan dibayar untuk membebaskan mangsa. Sebaliknya, wang berkenaan disalurkan kepada badan kebajikan di Filipina.

Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, kerajaan tidak mengiktiraf tuntutan wang tebusan daripada penculik.

“Sejumlah RM12 juta diberikan kepada polis tetapi bukan untuk membayar wang tebusan.

“Kerajaan memutuskan tidak akan bayar wang tebusan dan polis telah mematuhi arahan kerajaan.

“Saya mengesahkan wang itu tidak patut dibayar sebagai wang tebusan sebaliknya disalurkan kepada organisasi tertentu di Filipina untuk membantu perjuangan yang direstui undang-undang dan agama,” katanya dalam sidang media, kelmarin.

Sebelum ini, Datuk Lau Cheng Kiong, bapa saudara mangsa culik termuda, Johnny Lau Jung Hien dan wakil keluarga empat tebusan itu mendedahkan, wang derma sebanyak RM12 juta terdiri daripada pajakan dua rumah keluarga mangsa berjumlah RM1 juta, sumbangan orang ramai sebanyak RM9 juta dan RM2 juta lagi daripada syarikat perkapalan empat tebusan itu.

Adik-beradik, Wong Teck Kang, 31, dan Teck Chii, 29, bersama sepupu mereka, Johnny Lau Jung Hien, 21, dan rakan sekerja, Wong Hung Sing, 34, diculik dari sebuah kapal tunda di perairan Pulau Ligitan, berhampiran Semporna pada 1 April lalu sebelum dibebaskan pada 8 Jun lalu. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru