Thursday, December 8, 2022

Bandar moden untuk golongan muda di Bintawa, Kuching

Secara Rawak

PUTRAJAYA: Bandar yang dikenali sebagai Borneo744 akan diwujudkan dalam tempoh enam bulan  sebagai wadah menyediakan kemudahan dan aktiviti yang menggalakkan sikap keusahawanan dalam kalangan golongan muda.

Semalam, Perdana Menteri menyaksikan majlis pemetraian Perjanjian Persefahaman (MoU) untuk mewujudkan Bandar Usahawan Lautan Biru (BOET) yang pertama di Bintawa, Sarawak.

Bandar ini yang diumumkan Datuk Seri Najib Razak pada 3 April lalu akan berperanan sebagai hab kreativiti dan inovasi abagi mengumpulkan pemain industri bersama-sama di bawah satu bumbung bagi mewujudkan hubungan kerja yang lebih kreatif.

Usaha ke arah itu sedang giat dijalankan.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Negara Tan Sri Dr Mohd Irwan Siregar berkata, sebanyak RM20 juta diperuntukkan bagi merealisasikan projek berkenaan.

Bandar itu mempunyai tiga komponen, kawasan untuk menggalakkan keusahawanan, untuk perniagaan makanan, dan ruang untuk kegiatan sukan dan bersifat kemasyarakatan.

Kata Irwan: “Apabila siap, Borneo744 akan menjadi bandar moden, ceria dan selesa bagi golongan muda untuk bekerja, bermain dan makan bersama keluarga mereka.”

Beliau berkata, Borneo744 akan beroperasi dalam tempoh enam bulan, tetapi pihaknya mahu mempercepatkannya kemungkinan dalam tempoh empat bulan.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata: “Sebaik sahaja Borneo744  siap, ia akan menjadi bandar yang hidup bagi memberi ruang kepada golongan muda terbabit dalam pelbagai aktiviti seperti periklanan dan pemasaran, kraf, reka bentuk, filem, televisyen, video, fotografi, kemahiran komputer, penerbitan, muzium, galeri, perpustakaan, muzik, seni persembahan dan visual.” – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru