Wednesday, December 7, 2022

Media sosial bukan tempat lepas geram

Secara Rawak

Media sosial bukan tempat untuk melepas geram.

Kita tidak boleh membenarkan mana-mana individu menulis sesuka hati kerana setiap kebebasan perlu dihadkan bagi menjamin kestabilan sosiopolitik dan keharmonian hubungan etnik di negara ini.

Komen yang tidak sensitif terhadap agama dan kaum perlu dibendung jika kita tidak mahu ketegangan etnik dan konflik agama dan kaum berlaku di negara ini.

Kita tidak harus berkompromi atau memberi muka terhadap individu yang tidak sedar diri dan menyemarakkan sentimen kaum, agama dan kebencian terhadap golongan raja. Hukuman dan denda yang lebih berat adalah jawapan terbaik bagi mereka ini.

Media sosial mentransformasikan dunia komunikasi sehingga ada pengguna yang mengalami kejutan. Bukan sedikit yang terjebak dalam amalan yang tidak beretika, tidak beradab dan tidak bertanggungjawab. Media sosial menjadi senjata yang digunakan sewenang-wenangnya oleh sesetengah individu.

Dengan bilangan pengguna internet yang dijangka melonjak kepada sekitar 25 juta pada tahun ini, berbanding 18 juta pada 2012, bayangkan kesannya terhadap masyarakat dan negara jika kita biarkan mereka menggunakan media itu tanpa kawalan?

Media sosial adalah bagai pedang yang bermata dua atau serampang dua mata; ia boleh membawa kebaikan jika digunakan dengan bijaksana, tetapi boleh menghancurkan diri, masyarakat dan negara jika disalahgunakan.

Bagi sebahagian besar golongan muda, tiada hari tanpa media sosial kerana aplikasinya yang canggih dan menyeronokkan.

Kesan penggunaan media sosial yang meluas menyebabkan fitnah kepada individu, parti politik, perniagaan, persatuan, syarikat, institusi dan sebagainya berlaku. Begitu komen sudah tersebar, ia sama sekali sukar untuk dibendung dan ditarik balik.

Lagi panas dan kontroversi komen, lagi cepat mendapat reaksi balas.

Pengguna media sosial saling menyerang, mencerca dan mengkritik sehingga kepada soal peribadi yang tidak sepatutnya didedahkan melalui media sosial. Jika anda rajin meneliti tulisan dan komen sesetengah pihak, anda akan terkejut besar dengan kata-kata dan wacana yang diketengahkan.

media social bukan tempat lepas geramKata-kata berkenaan bukan sahaja kesat, tetapi begitu menghiris dan berbaur fitnah, hasutan dan penghinaan. Adakah semua itu membayangkan bahawa mereka memang tidak tahu akan kewujudan akta dan undang-undang berkaitan?

Atau mereka memang tidak kisah akan kesan dan implikasi perbuatan mereka itu? Hakikatnya, semua itu membayangkan betapa ada pengguna media sosial yang menulis tanpa banyak berfikir, tetapi dikuasai emosi. Mereka bukannya tidak berakal, tetapi mereka berakal singkat.

Bagi golongan ini, yang penting, asalkan mereka puas walaupun kata-kata berkenaan begitu menyakitkan dan menghiris tajam hati pihak yang menjadi sasaran. Penyebaran berita dan maklumat palsu, khabar angin, dan gunjingan bukan lagi sesuatu yang aneh.

Kenyataan yang tidak berlapis dan dihamburkan sesuka hati  memberi kesan buruk kepada individu, masyarakat, organisasi dan negara.

Ia mengelirukan dan membentuk persepsi negatif yang merugikan pihak yang menjadi sasaran. Bagi golongan ini, mereka semacam mendapat kepuasan daripada penderitaan dan kesengsaraan orang lain.  

Mereka berlagak pandai dan seronok apabila komen mendapat perhatian atau menjadi viral. Bagi pihak yang menjadi sasaran, ekoran daripada kritikan, fitnah dan cercaan, ada yang menderita kerana tidak sanggup berdepan dengan tekanan. Maruah dan harga diri terpukul teruk. Golongan terbabit perlu sedar bahawa perbuatan sedemikian bukan sahaja melanggar akta, tetapi juga pebuatan tidak beretika dan bertentangan dengan ajaran agama. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru