MIRI: Calon langsung Barisan Nasional bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Pujut, Datuk Hii King Chiong menfailkan petisyen bagi membatalkan keputusan pilihan raya negeri pada 7 Mei.

Peguam Peter Lin Kuan Yuh, yang mewakili Hii, berkata petisyen itu difailkan
bagi membatalkan kemenangan calon DAP Dr Ting Tiong Choon atas alasan beliau sudah menjadi warganegara sebuah negara lain.
Petisyen pilihan raya ini difailkan mengikut Seksyen 16 dan 17(g) Perlembagaan Negeri Sarawak berkaitan kewarganegaraan yang menyebut bahawa seseorang Anggota Dewan Undangan Negeri akan hilang kelayakan sekiranya beliau secara sukarela mendapatkan kewarganegaraan sebuah negara lain.
Dr Ting dikatakan memegang kerakyatan Australia, kerana nama beliau tersenarai sebagai pengundi di negara itu.
Petisyen itu dikemukakan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Miri semalam, Hii menamakan Dr Ting sebagai responden, dan memohon mahkamah mengisytiharkan kerusi Dewan Undangan Negeri Pujut sebagai batal dan tidak sah, serta mengisytiharkan beliau sebagai pemenang atas alasan beliau memperoleh undi kedua tertinggi.
Pada pilihan raya negeri ke-11, Dr Ting menang dengan majoriti 1,759 undi dalam pertandingan empat penjuru melibatkan calon DAP, BN, PAS dan Bebas.
Hii mendapat 7,140 undi, Jofri Jaraiee (Pas) mendapat 413 undi, dan Fong Pau Teck (Bebas) 375 undi. – Sarawakvoice.com