Tuesday, December 6, 2022

Bukan RM12 juta tetapi RM18 juta dibayar kepada penculik – China Press

Secara Rawak

PETALING JAYA: Sebuah tabloid berbahasa Cina hari ini mendakwa jumlah wang tebusan yang dibayar kepada militan Abu Sayyaf di selatan Filipina, bukan RM12 juta, sebaliknya RM18 juta.

Akhbar China Press yang memetik sumber yang boleh dipercayai berkata, wang tunai sebanyak RM12 juta yang dikumpul keluarga itu telah diletakkan di dalam beg sampah oleh dua anggota polis daripada Cawangan Khas Sandakan, yang kemudian dibawa ke Balai Polis Sandakan, sekitar jam 6 petang pada 24 Mei.

Bagaimanapun para penculik ini tidak berpuas hati dengan amaun yang diberi dan sejumlah RM6 juta lagi dikumpul, dengan bantuan tokoh-tokoh korporat tempatan, kata sumber itu lagi.

Pun begitu, pihak Cawangan Khas Sandakan dan Bank Hong Leong Cawangan Sandakan enggan mengulas pertanyaan berhubung dakwaan ini.

Akhbar China Press turut menghubungi salah seorang perunding yang terlibat sama dalam proses rundingan dengan militia Abu Sayyaf, yang mendakwa kumpulan  ini enggan melepaskan tebusan jika tebusan tidak dibayar.

“ Pihak penculik hanya akan menerima wang tunai yang telah ditukarkan kepada peso Flipina dan dihantar dengan menggunakan bot ke kubu kuat mereka di Pulau Jolo.

Kata akhbar itu lagi, sumber lain menyebut, jumlah RM18 juta tersebut termasuk kos perjalanan, tambang penginapan, makanan serta bayaran kepada orang tengah.

Militan Abu Sayyaf ini sebenarnya menuntut 300 juta peso (RM30 juta) sebagai tebusan, sebelum direndahkan kepada 180 juta peso (RM18 juta).

Pada lewat petang 1 April lalu, empat  krew  kapal tunda ‘Massive 6’ yang sedang dalam perjalanan ke Tawau dari Manila, telah ditawan sekumpulan tujuh lanun bersenjata di perairan Pulau Ligitan, Sabah sebelum kapal tunda tersebut dilarikan ke perairan Filipina dengan menaiki sebuah bot laju dengan enjin berkembar.

Keempat-empat mereka Wong Tek Kang, 31; adiknya,  Wong Teck Chii, 29; sepupu mereka, Johnny Lau Jung Hien, 21, dan  Wong Hung Sing, 34  hanya dibebaskan 7 Jun lalu, setelah berlaku perundingan dengan penculik.

Keluarga mangsa dikatakan tertekan dan berusaha mengumpul sumbangan orang ramai untuk tujuan membayar tebusan tersebut.

Keempat-empat mereka kemudian diterbangkan ke Sibu dari Kota Kinabalu dengan pesawat Mas Wings MH3183 setelah proses dokumentasi dan percakapan mereka dirakamkan.

Semalam Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menafikan wang yang dikumpul keluarga itu diserahkan kepada kumpulan penculik ini, sebaliknya telah diagihkan kepada sebuah badan kebajikan di Filipina untuk kegunaan kebajikan dan kerja-kerja amal. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru