Monday, November 28, 2022

Abang Jo: Teknologi terkini diterapkan bagi tingkatkan keberkesanan sektor awam Sarawak

Secara Rawak

KUCHING:  Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata teknologi terkini akan diterapkan dalam sektor perkhidmatan awam di negeri ini, membabitkan bukan sahaja ibu pejabat, tetapi juga peringkat bahagian dan daerah, bagi meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatannya.

Sambil mengakui bahawa sistem digunakan sekarang masih di takuk lama, Abang Johari berkata, peningkatan sistem teknologi perlu dilakukan bagi memastikan segala urusan berkaitan dengan pelaksanaan projek pembangunam, termasuk memenuhi janji pilihan raya lalu kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

Kata Abang Johari: “Kita perlu beralih kepada sistem pengurusan baharu membabitkan penggunaan teknologi menerusi penghantaran imej serta teks, bukannya menulis memo yang dihantar kepada residen dan seterusnya negeri, yang mengambil masa, seperti diamalkan sekarang.”

“Sektor awam Sarawak perlu dilihat  secara holistik. Pertama, sistem penyampaian perkhidmatan, dan kedua sistem untuk melaksanakan janji-janji kerajaan negeri kepada rakyat seperti terkandung dalam manifesto BN, dan ketiga penyelarasan antara beberapa agensi,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Bubur Lambuk Kolej SIGMA Sarawak 2016 di pekarangan Masjid Darulhana, Kampung Patingan dekat sini, semalam.

Pada pilihan raya 7 Mei lalu, BN telah menggariskan 15 perkara dalam manifestonya termasuk dari segi alam sekitar, pendidikan, dan pembangunan luar bandar.

Untuk itu, Abang Johari berkata, beliau telah diarahkan oleh Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem untuk mengetuai Jawatankuasa Kabinet Sistem Penyampaian Perkhidmatan dan Pencapaian Sektor Awam Sarawak.

Jawatankuasa itu akan turut dianggotai Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani serta beberapa menteri dan menteri muda.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, jawatankuasa kabinet berkenaan akan melihat aspek penurunan kuasa dan pemerkasaan antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri, serta bagaimana penyelarasan yang lebih baik dapat dilakukan pada peringkat negeri, seterusnya  bahagian dan daerah.

“Penurunan kuasa kepada residen dan pegawai daerah akan mengurangkan kerenah birokrasi dalam sistem penyampaian perkhidmatan sektor awam negeri khasnya,” tambah beliau yang juga Menteri Perumahan dan Urbanisasi, serta Menteri Pelancongan, Kesenian  dan Kebudayaan.

Menurutnya, kini masalah yang dihadapi ialah pegawai di peringkat bahagian dan daerah tidak berani membuat keputusan berkaitan projek pembangunan  mungkin kerana berpendapat ia di luar bidang kuasa mereka. – Sarawakvoice.com

 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru