Tuesday, December 6, 2022

Wang  RM12 juta bukan diserahkan kepada penculik, kata Zahid, 4 lagi rakyat Malaysia dikatakan diculik

Secara Rawak

PUTRAJAYA: Di sebalik tercetusnya desas-desus bahawa empat lagi rakyat Malaysia  diculik oleh kumpulan Abu Sayyaf di Selatan Filipina, Timbalan Perdana Menteri hari ini menafikan bahawa wang  tebusan  RM12 telah diserahkan kepada penculik bagi membebaskan empat orang anak Sarawak 7 Jun lalu.

Sebaliknya, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, RM12 juta yang dikumpulkan oleh keluarga mangsa culik dari Sibu itu telah diserahkan sebuah badan di Filipina, dan bukan kepada penculik.

Zahid cuba menjelaskan kedudukan sebenar wang tebusan kerana kini pelbagai spekulasi berlegar dengan ada yang menyatakan bahawa kumpulan penculik biasanya tidak akan membebaskan mangsa tanpa sebarang bayaran dalam bentuk pampasan.

Keluarga mangsa juga berada di bawah tekanan sama ada wang tersebut sebenarnya sudah diserahkan kepada polis atau pengganas, atau masih dalam simpanan mereka.

Namun, pihak keluarga terbabit semalam menyatakan bahawa ia telah diserahkan kepada pihak polis.

Kata Zahid, kerajaan tidak mengiktiraf dan menggalakkan pembayaran pempasan, dan tidak akan menggunakan sebarang dana untuk tujuan tersebut.

Sebarang bayaran sedemikian menurut sumber akan hanya menggalakkan aktiviti berkenaan.

Kerajaan, katanya, telah memutuskan tiada bayaran wang tebusan, dan pihak polis telah akur dengan arahan berkenaan.

“Wang itu diserahkan kepada Cawangan Khas PDRM dan saya mengesahkannya ia untuk disalurkan bukan sebagai wang tebusan tetapi diserahkan kepada badan tertentu di Filipina,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Wakaf Al-Quran Peringkat Kebangsaan di sini.

0ec1ceb7-cd4b-493b-873d-d3a6c57c6904

“Wang itu diserahkan kepada badan yang menjalankan aktiviti yang mengikut undang-undang, bukan aktiviti haram termasuk penculikan kerana kita langsung tidak mengiktiraf atau bersetuju dengan penculikan untuk wang tebusan,” katanya.

Namun, beliau enggan mendedahkan badan yang menerima wang berkenaan, tetapi memberi jaminan ia bukan disalurkan kepada kumpulan pengganas atau penjenayah.

Difahamkan, wang tebusan itu terdiri daripada pajakan dua rumah keluarga mangsa yang berjumlah RM1 juta, sumbangan orang ramai sebanyak RM9 juta dan RM2 juta lagi daripada syarikat perkapalan empat tebusan itu.

Sebelum ini terdapat laporan menyebut, wang tebusan yang diminta penculik ialah 300 juta peso (RM30 juta), tetapi dikurangkan kepada 180 juta peso (RM18 juta).

Bukit Aman  dan pihak keselamatan di Sabah sedang mengesahkan berita terbaharu tetang  penculikan empat lagi rakyat Malaysia di perairan Sulu pada Khamis.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar  melalui Twitter berkata Bukit Aaman belum menerima sebarang laporan tentang kejadian terbaharu itu.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru