Thursday, December 8, 2022

Program dan latihan  yang berkesan bebaskan klien kebajikan dari Sarawak  daripada  bantuan – Fatimah

Secara Rawak

KUCHING: Kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM220.81 juta pada tahun lalu untuk melaksanakan program-program  kebajikan  di Sarawak.

Menurut Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Fatimah Abdullah, dengan bantuan dan program yang ada, pihaknya berusaha untuk memperkasa kelompok yang menjadi klien kementerian tersebut.

“Kita sedar bahawa ada beberapa individu dalam kalangan klien ini yang produktif dan kita memberi galakan kepada mereka melalui program pembangunan usahawan mikro —  yang menjurus kepada mewujudan komuniti yang berdikari.

“Jika kita beri mereka ikan, mereka akan kenyang untuk sehari. Tetapi jika kita ajar mereka cara untuk memancing, kita akan memberi mereka makanan untuk seumur hidup,” katanya kepada sarawakvoice.

Fatimah menambah , sejak tahun 2014 hingga April 2016, Jabatan Kebajikan Masyarakat telah berjaya mengeluarkan seramai 103 klien daripada senarai penerima bantuan bulanan.

“Mereka ini telah mampu hidup berdikari dengan menjana pendapatan melebihi RM1,000  sebulan manakala seramai 771 klien lagi sedang menjalani aktiviti bimbingan intensif JKM,” katanya.

Antara ikon bekas klien JKM yang berjaya ini termasuklah  Iran Nyaro dari Limbang, yang kini berupaya memperolehi pendapatan mencecah RM10,000  sebulan melalui  perusahaan peruncitan.

Felicity Lerang Abdullah,  seorang ibu tunggal dari Miri pula berjaya menikmati pendapatan mencecah RM5,000  sebulan sebagai pengusaha kek lapis.

Menurut Fatimah, selain program Pembangunan Usahawan Mikro, pihaknya juga menganjurkan program  “ job coach” meliputi  latihan kemahiran vokasional dan latihan kemahiran hidup untuk orang kelainan upaya (OKU) dan kanak-kanak di institusi kebajikan.

“Sepanjang tahun 2014 hingga 2015, seramai 53 OKU dalam kalangan pelatih Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) telah menjalani program Job Coach dan mendapat pekerjaan,” katanya.

Misalnya, Agnes Nasey dari PDK Serasot, Bau telah mendapat pekerjaan  sebagai pembantu dapur di sebuah restoran dengan pendapatan RM900 sebulan,  Aron Abdullah dari PDK Penrissen Bau kini bekerja sebagai pekerja am di pasar raya dengan pendapatan RM850  sebulan  manakala  Mohd Rizqi dari PDK Penrissen, bekerja di sebuah pasar raya di Simpang Tiga  sebagai penghantar barang dengan gaji RM800 sebulan.

Pada masa yang sama kata Adun Dalat itu lagi, seramai 122 OKU daripada Pusat-Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan Pusat Pemulihan Samarahan (PPS) telah berjaya mendapat sijil kemahiran Kolej Komuniti pada tahun 2015.

“Antara bidang latihan yang disertai adalah pembuatan roti, pengeluaran cendawan, kimpalan dan fabrikasi logam dan pengeluaran pertanian.

“Dengan sijil kemahiran bertauliah, klien yang terlatih mempunyai peluang yang lebih luas untuk mendapat pekerjaan ataupun untuk membangunkan perusahaan sendiri.

Sepanjang tahun lalu juga kata Fatimah lagi, seramai 29 pelatih Sekolah Tunas Bakti Kuching (STB Kuching) dan Taman Seri Puteri Kuching (TSP) telah memperolehi Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 1 (SKM1) Jabatan Pembangunan Kemahiran Malaysia (JPK) dan Sijil Modular Kebangsaan (SMK) Kolej Komuniti Modul 4.

“Melalui sijil-sijil tersebut, ada di antara mereka telah berjaya melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi atau mendapat pekerjaan.

“Bagi banduan di Penjara pula, latihan pelbagai kemahiran juga menjurus kepada pensijilan yang bertauliah.

Sehingga tahun 2015 katanya, seramai 109 banduan telah mendapat sijil kemahiran dalam bidang pembuatan pakaian, pemprosesan makanan, pembuatan perabot, dobi, simen ferro dan kimpalan di seluruh Sarawak.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru