Wednesday, November 30, 2022

Polis utamakan keselamatan mangsa culik untuk kembali kepada keluarga – Timbalan KPN

Secara Rawak

KUALA LUMPUR:  “ Yang penting semua mangsa sudah diselamatkan dan disatukan dengan keluarga mereka,” itu penegasan yang diberikan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim ketika diminta mengulas dakwaan keluarga membayar sejumlah RM12 juta kepada penculik, militan Abu Sayyaf sebagai syarat pembebasan empat anggota keluarga mereka.

Datuk-Seri-Noor-Rashid-IbrahimMenurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan yang terbaik, termasuk memastikan mereka selamat, dan diiringi unit khas ketika kembali ke negara ini.

Kata Noor Rashid, beliau tidak dapat memberikan komen berhubung tuntutan wang tebusan yang dibayar keluarga mangsa, kerana beliau tidak menguruskannya.

“Saya tidak menguruskan hal itu (bayar wang tebusan untuk membebaskan mangsa). Jadi saya tidak boleh komen mengenainya, “ katanya pada majlis berbuka puasa DM Scuba Dive Centre dekat sini, semalam

Jelasnya, fokus utama pihaknya kini adalah untuk memastikan kejadian penculikan di kawasan perairan Sabah tidak berulang.

“Ini dilakukan dengan memperkukuhkan keupayaan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) selain bekerjasama dengan negara jiran dalam soal keselamatan,” katanya.

Semalam keluarga keempat-empat mangsa culik dalam satu sidang media di Sibu, Sarawak mendakwa, mereka telah membayar wang tebusan sebanyak RM12 juta kepada penculik bagi pembebasan kesemua mangsa.

Free Malaysia Today yang memetik laporan Chine Press hari ini melaporkan sebenarnya kira-kira RM18 juta digunakan untuk membebaskan empat mangsa berkenaan.

Difahamkan RM18 juta dibelanjakan secara keseluruhan termasuk kos rundingan dengan penculik yang dibiayai ahli korporat, kata laporan itu.

Semalam,  Datuk Lau Cheng Kiong, bapa saudara mangsa culik termuda, Johnny Lau Jung Hien dan wakil keluarga empat tebusan itu mendedahkan, wang derma sebanyak RM12 juta dimasukkan ke dalam 12 peti besi untuk dihantar ke sebuah bank di Sandakan mulai jam 4 petang, 24 Mei lalu.

Jelasnya, wang itu kemudiannya dimasukkan ke dalam beg plastik sampah oleh dua anggota polis Cawangan Khas (SB) dari Sandakan sebelum diangkut ke Balai Polis Sandakan pada jam 6 petang hari sama.

Difahamkan Abu Sayyaf tidak mungkin melepaskan tebusan tanpa sebarang bayaran. –

Sebelumnya, pada April lalu, pihak keluarga telah diugut untuk membayar sejumlah RM30 juta atau kepala semua mangsa akan dipenggal.

Namun selepas beberapa pusingan rundingan, pihak penculik bersetuju mengurangkan jumlah yang ditetapkan, dan pihak keluarga telah memohon sumbangan ramai termasuk syarikat-syarikat pembalakan dan mencagar rumah kediaman mereka bagi mengumpulkan wang yang dikehendaki.

Wang tersebut kemudian diserahkan kepada pihak Cawangan Khas IPD Sandakan untuk tindakan susulan, diserahkan kepada pihak penculik.

Tindakan sidang media semalam bertujuan untuk menerangkan kepada orang ramai akan situasi yang dialami oleh keluarga mangsa susulan kenyataan beberapa pihak bahawa mereka dibebaskan tanpa syarat. – Sarawakvoice.com

 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru