Pekerja kek di Simpang Tiga ditahan kerana rogol rakan sekerja berusia 17 tahun

0
9

KUCHING: Polis Kuching semalam menahan seorang lelaki berusia 23 tahun selepas dipercayai memperkosa teman sekerjanya, yang bertugas sebagai pekerja kedai kek di Jalan Simpang Tiga dekat sini.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai berkata, lelaki  tersebut yang telah beristeri, melakukan perbuatan tersebut di hostel pekerja kedai terbabit pada waktu rehat tengah hari, Isnin lalu ketika gadis terbabit sedang berehat.

“Ketika kejadian, mangsa sedang berehat di dalam bilik asrama sebelum didatangi oleh suspek.

“Melihat tidak ada orang lain di sana, suspek terus menolak mangsa ke atas tilam dan membuka seluarnya sebelum merogol.

Mangsa kata Abang Ahmad cuba melawan dan meronta, sebelum berjaya melepaskan diri dan mengunci dirinya di dalam tandas.

“Mangsa yang berusia 17 tahun dan berketurunan Iban trauma dan enggan membuat laporan polis selepas kejadian tersebut.

“Namun kes ini terbongkar apabila mangsa menghantar surat berhenti kerja dan memberitahu majikannya berhubung kejadian tersebut.

Mereka kemudiannya membuat laporan polis dan bertindak daripada laporan tersebut sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah telah melakukan tangkapan terhadap suspek.

“Polis akan mendapatkan perintah reman hari ini, bagi membolehkan suspek yang juga lelaki berasal dari Kampung Moyan Laut, Asajaya ditahan lanjut.

“Mangsa telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk pemeriksaan, dan diambil sampel DNA,” kata Abang Ahmad lagi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 376, Kanun Keseksaan atas jenayah merogol. – Sarawakvoice.com