SIBU: Empat anak muda dari Sibu, Sarawak yang menjadi mangsa culik di selatan Filipina tidak terfikir mereka akhirnya berjaya kembali ke pangkuan keluarga.

Pengalaman getir  68 hari  dalam tahanan penculik sejak 1 April lalu hingga dibebaskan 7 Jun, menyebabkan mereka trauma dan ingin meninggalkan kisah pedih itu dalam lipatan sejarah hidup.

Betapa tidak, ketika dalam penguasaan penculik, mereka  terbayang akan detik-detik kematian. Walau menaruh benih harapan dan sentiasa berdoa, namun mereka sedar bahawa nyawa berada di tangan penculik yang boleh bila-bila masa sahaja meragut nyawa mereka.

Mengingat detik berkenaan, mereka berasa begitu takut.

Mereka bagai menghitung hari menuju kematian.

Serahkan RM30 juta atau nyawa kamu melayang!  Begitulah lebih kurang kata-kata penculik yang kejam itu.

Wong Teck Kang, salah seorang mangsa, dipaksa menghubungi keluarga untuk meminta supaya disegerakan penghantaran wang tebusan.

Disebabkan tiada pilihan keluarga mangsa telah mengambil daya usaha untuk mendapatkan sumbangan orang ramai demi menyelamatkan nyawa empat orang anak muda dari Sarawak itu.

“Ia tindakan yang terdesak. Pada April lalu, apabila keluarga gagal menyediakan RM30 juta seperti yang dituntut, mereka mengugut untuk memenggal kepala mereka,” kata Datuk Lau Cheng Kiong kepada media, Rabu.

Mereka akhirnya berjaya mengutip RM12 juta yang dikatakan telah diserahkan kepada pihak polis.

Kematian sentiasa bermain dalam kepala mereka.

Hal ini memang dapat dimengerti apabila seseorang berada di bawah kawalan musuh, apatah lagi penculik, jauh di dalam hutan di negara orang.

Selain berdoa, mereka sentiasa ingat akan kaum keluarga dan sanak saudara di Sibu.

“Kami benar-benar takut. Kami tidak fikir boleh balik. Hari-hari kami berdoa supaya kami selamat,” kata seorang mangsa Wong Teck Kang, 31.

Bagi mereka, jika tidak mati ditangan penculik, mungkin mati akibat ledakan bom tentera kerajaan Filipina  yang  menjalankan operasi dari semasa ke semasa.

Selatan Filipina terutama Pulau Jolo memang menjadi markas kumpulan penculik terutama Abu Sayyaf.

Lima jam perjalanan dengan bot dari Sandakan, pulau itu terkenal di kaca mata media antarabangsa kerana kegiatan penculikan yang sudah berlarutan.

Kejadian penculikan  yang paling menggemparkan membabitkan rakyat Malaysia pada 23 April 2000  apabila sekumpulan 21 pelancong asing dan pekerja pulau peranginan Sipadan, menjadi mangsa culik kumpulan Abu Sayyaf.

Selepas itu beberapa siri penculikan  lagi terjadi bagai tiada kesudahannya.

Teck Kang bersama adiknya Wong Teck Chii, 29, sepupu mereka Johnny Lau Jung Hien, 21, serta seorang rakan Wong Hung Sing, 34, diculik dari atas kapal tunda MV Massive 6 di perairan Pulau Ligitan pada 1 April lalu.

Pada lewat petang April Fool itu, keempat-empat mereka yang bertugas sebagai krew kapal tunda Massive 6 sedang dalam perjalanan ke Tawau dari Manila, sebelum kapal tunda tersebut dinaiki sekumpulan tujuh lanun bersenjata di perairan Pulau Ligitan, Sabah.

Kumpulan yang dipercayai militan Abu Sayyaf itu kemudian menculik mereka sebelum memecut  ke perairan Filipina dengan menaiki sebuah bot laju dengan enjin berkembar, sebelum perintah berkurung dikuatkuasakan di kawasan tersebut.

Mereka hanya dibebaskan selepas 68 hari  ditawan dan juga difahamkan setelah berlaku perundingan berikutan penculik menuntut wang tebusan bernilai RM12 juta sebagai tukaran pembebasan.

Harian Metro melaporkan, wang tebusan itu dikatakan membabitkan sumbangan individu dan orang ramai sebanyak RM9 juta, pemberian syarikat perkapalan tempat mangsa bekerja sebanyak RM2 juta dan RM1 juta lagi hasil pajak gadai dua rumah keluarga mangsa di Pulau Li Hua, Sibu. Datuk Lau, bapa saudara kepada kepada salah seorang tebusan dilaporkan media sebagai berkata, wang tebusan itu diserahkan kepada Cawangan Khas di Sandakan pada 24 Mei lalu.

“Kami serahkan amaun itu membabitkan 12 cek Hong Leong Bank yang setiap satunya bernilai RM1 juta dalam sebuah beg sebelum diserahkan kepada Cawangan Khas di Sandakan pada 24 Mei, sekitar jam 4 hingga 6 petang.

“Semua wang itu sudah diserahkan kepada mereka (kumpulan militan Abu Sayyaf) dan kami tidak mengambilnya walau satu sen pun,” katanya.

Mereka diculik oleh tujuh individu bertutup muka dan bersenjata sebelum dibawa ke sebuah pulau. Di pulau berkenaan mereka selama tiga hari, tanpa diberi makan dan minum. Mereka hanya minum air hujan sahaja.

Bayangkan kegetiran hidup dan kesukaran yang dilalui mangsa berkenaan.

Kemudian mereka dibawa ke sebuah kawasan berbukit-bukau, diselaputi hutan belantara.

Perlindungan di hutan sedemikian merupakan satu strategi penculik bagi mengelakkan daripada dipantau oleh tentera kerajaan. Juga, tentu sukar untuk helikopter mendarat di mana-mana. Nasib mereka bertambah baik di situ. Setidak-tidak para penculik memberi mereka nasi, ikan masin, dan air. Mereka berempat terpaksa membahagi-bahagikan makanan yang diberikan itu.

Masa berlalu begitu perlahan, dan kadangkala mereka  berasa begitu kecewa.

Tidak banyak yang dapat dilakukan kerana kaki mereka dirantai bagi menyekat pergerakan dan mengelak mereka daripada melepaskan diri.

Memang ada waktunya terlintas di hati, mahu melarikan diri. Tetapi bagaimana dan ke mana?

Rantai tersebut hanya dilepaskan apabila mereka hendak buang air kecil atau buang air besar. Atau ketika ketika hendak berjalan menuju tempat lain.

Penculik mahu mengelak daripada dikesan, maka mereka cuba berpindah dari satu kawasan ke satu kawasan lain setiap beberapa hari.

Di kawasan berkenaan, mereka sedar bukan mereka berempat sahaja di situ. Rupa-rupanya banyak lagi mangsa culik lain, dari pelbagai negara  sebagai tahanan atau sandera. Nyawa mereka semua bagai telur di hujung tanduk.

Mereka sentiasa diancam dan digertak. Diugut, diugut dan diugut. Tanpa sebarang sebab, ada ketikanya mereka disepak dan diterajang.

Bagi penculik, mereka sentiasa mengancam untuk membunuh jika wang tebusan tidak disediakan.

Mereka juga tidak dibenarkan bercakap sesama sendiri kerana bagi penculik, seolah-olah mereka berbincang untuk melepaskan diri. Itulah sebabnya kadangkala mereka dipukul.

Walau tanpa alasan, memang itu nasib yang diterima mereka. Mereka asyik berdoa dalam hati agar akhirnya wang tebusan sampai  juga di tangan penculik.

Bagi memberi tekanan supaya wang tebusan disegerakan, penculik kadangkala menyiarkan rakaman pemenggalan terhadap mangsa lain. Melihat rakaman berkenaan, mereka berasa begitu gerun sekali.

“Malah untuk mengugut kami, mereka sering kali menayangkan rakaman video yang menunjukkan mangsa-mangsa mereka sebelum ini yang dipenggal kepala kerana gagal membayar tebusan.

“Dengan cara itulah mereka memaksa kami untuk mendesak keluarga membayar wang tebusan,” katanya lagi yang masih trauma dengan apa yang berlaku.

Dengan situasi yang dihadapi, serta tuntutan tebusan yang tinggi, mereka sebenarnya tidak menaruh harapan untuk kembali ke pangkuan keluarga

Meskipun demikian, ada ketikanya kumpulan tersebut membenarkan mereka berhubung dengan keluarga di Sibu yang menanti dalam penuh debaran dan tanda tanya. Mereka menguatkan semangat  kerana jauh di sudut hati, masih menyimpan harapan. Akan ada sinar di hujung terowong walau menghadapi pengalaman pahit sepanjang di dalam hutan. Mereka perlu menguatkan semangat untuk berjumpa dengan kaum keluarga dan adik beradik.

Akhirnya doa mereka terjawab.

Pada awal awal pagi 8 Jun, mereka dibawa menaiki bot menuju ke Sabah. Mereka  sampai di Sandakan pada 6 pagi hari berikutnya.

Menaiki bot tersebut ialah tujuh individu bersenjata berbahasa Melayu dan Inggeris.

Selepas membebaskan mereka, lelaki bersenjata berkenaan  terus meninggalkan perairan Sabah.

Keempat-empat mereka yang dibebaskan itu diterbangkan ke Sibu dari Kota Kinabalu semalam dengan menaiki pesawat MASWings MH3183 dengan diiringi oleh dua anggota polis berpakaian preman.

Di Sibu, mereka melakukan ritual untuk melepaskan bala dengan melangkah arang yang dinyalakan di hadapan rumah, dengan harapan nasib buruk tidak akan berulang, dan nasib baik akan menjelma.

Mereka rasa bagai mati hidup semula. Kini, mereka lebih menghargai erti kebebasan dan kasih sayang. Mereka mahu melangkah ke hadapan, dan meninggalkan kisah pahit di selatan Filipina bersama kumpulan penculik yang berhati kejam. – Sarawakvoice.com