Wednesday, June 29, 2022

Unduk Ngadau,  Kumang Gawai bukan sekadar tampilkan kecantikan

Secara Rawak

Dr Lee Kuok Tiung, UMS
Dr Lee Kuok Tiung, UMS

Pesta Kaamatan dan Gawai merupakan perayaan tradisi terbesar masyarakat peribumi Sabah Sarawak bagi meraikan tamatnya musim menuai padi.

Kemuncak perayaan Kaamatan yang juga dikenali sebagai Kokotuan atau Magavau dalam bahasa Kadazan kebiasaannya adalah pada hari terakhir, iaitu 31 Mei manakala bagi Gawai Dayak pada 1 Jun.

Jadi kebiasaannya,  30 dan 31 Mei ialah cuti umum di Sabah, manakala 1 dan 2 Jun ialah cuti umum di Sarawak.

Kaamatan bukan sahaja diraikan oleh masyarakat Kadazan-Dusun dan Murut (KDM) dan begitu juga Gawai bukan sahaja diraikan oleh Iban, Bidayuh atau Orang Ulu sahaja, tetapi oleh seluruh masyarakat di tanpa mengira kaum dan agama.

Nama-nama etnik tersebut hanyalah bagi kumpulan etnik yang terbesar, belum mengambil kira semua subetnik yang apabila dijumlahkan menyaksikan mereka ialah majoriti di Sabah dan Sarawak.

Jadi, amatlah tidak bersesuaian bumiputera Sabah dan Sarawak diletakkan sebagai ‘Lain-lain’ bangsa.

Ia harus diperbetulkan sepertimana juga salah tanggapan aramaiti adalah pasal minum tapai, minum tajau dengan sumbiling, dan begitu juga Gawai bukan pasal tuak atau langkau.

Banyak makanan tradisional dan acara kesenian yang menarik diadakan sepanjang musim kedua-dua perayaan ini yang sewajarnya diberikan lebih banyak perhatian. Contohnya, upacara simbolik mongomot padi menghormati semangat padi, ngajat, tarian oleh Bobolian, Sumazau, sukan tarik tali atau gusti tangan, pertandingan nyanyian Sugandoi, dan sebagainya.

Jika diteliti secara terperinci sebenarnya terdapat banyak persamaan antara kedua-dua perayaan ini. Lazimnya bermula dengan peringkat kampung dan seterusnya daerah sebelum ke Grand Finale di peringkat negeri.

Paling menarik perhatian orang ramai sebenarnya ialah pertandingan akhir Unduk Ngadau dan Kumang Gawai.

Konsepnya ala-ala Euro 2016 juga di mana juara-juara daerah akan bersaing di Hongkod Koisaan, KDCA untuk dinobatkan sebagai juara. Perbezaan paling utama mungkin tiadalah ‘group of death’ kerana ia adalah berdasarkan individu.

Pertandingan ratu cantik ini sebenarnya bukan pasal kecantikan paras rupa anak dara sahaja, tetapi tradisi budaya dan identiti masyarakat asal Sabah. Untuk cerita lebih menarik perlu mengenali legenda Huminodun terlebih dahulu.

Tidak semestinya mereka ini sumandak tercantik di seluruh negeri Sabah kerana pertandingan ini tidak mengambil kira Miss Chinese International atau Miss World Malaysia, tetapi lebih daripada cukup memadai untuk mewujudkan gelombang yang menghasilkan suasana riuh rendah di antara  para penyokong fanatik.

Acara yang hangat diperkatakan oleh penyokong masing-masing sepertimana juga diehard fans kelab-kelab bola sepak. Selalunya keputusan Juara UN peringkat negeri akan mendapat komen-komen yang menyentuh semua sudut —  identiti, integriti, keadilan, dominasi superioriti-inferioriti, majoriti dan minoriti – seperti memetik ulasan Dr Paul Porodong salah seorang juri UN 2016, Unduk Ngadau seolah-olah menjadi platform persaingan lokaliti dan etnik.

Namun acara yang sama sebenarnya menyemai persahabatan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang etnik.

Kedua-dua perayaan ini sebenarnya berperanan penting menyatukan rakyat berbilang bangsa.

Ramai juga yang melihat keistimewaan perayaan ini sebagai produk pelancongan untuk meningkatkan ekonomi masyarakat tempatan di Sabah dan Sarawak.

Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan dan Selamat Hari Gawai, Gayu Guru Gerai Nyamai. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru