Tuesday, December 6, 2022

Tebusan RM12 juta untuk bebaskan mangsa culik hasil sumbangan pelbagai pihak, mangsa sudah putus harapan

Secara Rawak

SIBU: Wang tunai RM12 juta. Itu harga yang terpaksa dibayar oleh keluarga empat mangsa culik kepada militan Abu Sayyaf bagi membolehkan mereka selamat sampai ke pangkuan keluarga masing-masing.

Menurut bapa saudara mangsa, Datuk Lau Cheng Kiong, wang tersebut dikumpul daripada sumbangan orang ramai, selain beberapa syarikat yang bersimpati selain pinjaman dengan mencagarkan rumah bapa mangsa.

“Ia tindakan yang terdesak. Pada April lalu, apabila keluarga gagal menyediakan RM30 juta seperti yang dituntut, mereka mengugut untuk memenggal kepala mereka,” katanya.

Kerana itulah katanya, pihaknya mengadakan sidang media pada pagi tadi bagi memberi penjelasan bahawa wang yang dikutip itu telah diserahkan kepada pihak Cawangan Khas Polis DiRaja Malaysia di Sandakan untuk tujuan diserahkan kepada pasukan yang melakukan rundingan dengan pihak penculik.

“Hanya setelah pembayaran dilakukan pada 24 Mei lalu maka, keempat-empat mangsa dibebaskan dan dibawa balik ke negara ini dengan selamat,” katanya pada sidang media khas yang diadakan di kediaman keluarga tersebut di Pulau Li Hua dekat sini, pagi tadi.

Terdahulu keempat-empat mangsa – Wong Tek Kang, 31 tahun, adiknya Wong Teck Chii, 29 tahun, sepupu mereka, Johnny Lau Jung Hien, 21 tahun, dan Wong Hung Sing, 34 tahun berlutut di hadapan pihak media bagi merakamkan penghargaan dan terima kasih atas sumbangan dan sokongan yang membawa kepada pembebasan mereka.

Pada lewat petang 1 April lalu, keempat-empat mereka yang bertugas sebagai krew kapal tunda Massive 6 sedang dalam perjalanan ke Tawau dari Manila, sebelum kapal tunda tersebut dinaiki sekumpulan tujuh lanun bersenjata di perairan Pulau Ligitan, Sabah.

Kumpulan yang dipercayai militan Abu Sayyaf itu kemudian menculik keempat-empat mereka sebelum memecut lari ke perairan Filipina dengan menaiki sebuah bot laju dengan enjin berkembar, sebelum perintah berkurung dikuatkuasakan di kawasan tersebut.

Mereka hanya dibebaskan 7 Jun lalu, 68 hari selepas ditawan setelah berlaku perundingan berikutan penculik menuntut wang tebusan bernilai RM12 juta sebagai tukaran pembebasan.

Menceritakan pengalamannya, Tek Kang berkata, mereka berasa takut yang amat ketika mula-mula diculik hinggalah mereka dibawa ke sebuah pulau.

“Di situ kami lihat banyak yang lain (mangsa culik). Kami diikat pada kaki dan diarahkan untuk berpindah-randah setiap beberapa hari.

“Selepas itu, kami diugut dan diugut, dan kadang-kadang dipukul dengan tangan atau disepak oleh mereka,” katanya.

Jelas, Tek Kang, mereka juga kadang-kadang tidak diberi makan oleh kumpulan ini yang rata-ratanya memiliki senjata api.

“Kami memang takut. Takut dibunuh dan takut dengan serangan bom ke atas kumpulan ini oleh pihak berkuasa Filipina.

“Malah untuk mengugut kami, mereka sering kali menayangkan rakaman video yang menunjukkan mangsa-mangsa mereka sebelum ini yang dipenggal kepala kerana gagal membayar tebusan.

“Dengan cara itulah mereka memaksa kami untuk mendesak keluarga membayar wang tebusan,” katanya lagi yang masih trauma dengan apa yang berlaku.

Jelas Tek Kang, dengan situasi yang dihadapi, serta tuntutan tebusan yang tinggi, mereka sebenarnya tidak menaruh harapan untuk kembali ke pangkuan keluarga.

“Benar ooo … kalau tidak ada orang tolong (dia menggeleng-geleng kepala).

“Syukurlah semuanya sudah selamat. Dan kami dapat kembali ke sini walaupun sewaktu berada di Sabah, kami masih diselubungi ketakutan,” katanya. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru