
KUCHING: Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) berkata SUPP akan memberi sokongan penuh terhadap langkah mendapatkan autonomi Sarawak daripada kerajaan Persekutuan.
Untuk itu, Datuk Dr Sim Kui Hian berkata, bagi membantu Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem melancarkan proses tersebut, SUPP akan membentuk Jawatankuasa Kerja Penurunan Kuasa dan Autonomi Sarawak.
Menurut Dr Sim, jawatankuasa itu kemungkinan diketuai Naib Presiden SUPP Datuk Lee Kim Shin, serta dibantu pakar berkaitan dalam SUPP.
Jawatankuasa itu, katanya, akan melakukan kajian lanjut mengenai isu berkenaan.
“Kami akan gunakan sepenuhnya kepakaran tersebut bagi mendapatkan maklumat yang tepat supaya dapat membantu Ketua Menteri memperjuangkan hak kita,” tambahnya.
“Kami hanya mahu mendapatkan kembali hak kita sebagai rakyat Sarawak,” katanya pada sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.
SUPP telah mengadakan ceramah mengenai isu autonomi di beberapa bandar utama di negeri ini. – Sarawakvoice.com
