Monday, November 28, 2022

SK Tambak diancam air pasang dan “Enggoang” kini mohon perhatian

Secara Rawak

PUSA : Selepas episod duka melanda Sekolah Kebangsaan (SK) Buda, Spaoh yang ranap dan ditelan sungai pada jam 3 pagi 3 Ramadan bersamaan Rabu ( 8 Jun), kini warga SK Tambak Pusa pula meminta agar radar perhatian pihak berwajib diarahkan pula ke sekolah terbabit yang kini berdepan ancaman air pasang setiap kali pasang besar berlaku.

Sekolah tersebut yang telah wujud sejak lebih 70 tahun lalu merupakan satu-satunya sekolah yang ada di Kampung Tambak.

Kampung Tambak terletak kira-kira setengah jam perjalanan dengan melalui jalan darat dari pekan Pusa. Kampung ini dihuni oleh majoritinya masyarakat Melayu.

SK Tambak terletak tidak jauh dari sungai dan berada berdekatan dengan rumah penduduk kampung. Malah sekolah ini boleh dikatakan berkongsi tapak dengan kawasan rumah penduduk .

Kunjungan kita ke sekolah ini akan disambut dengan landskap yang alam yang sedikit berbeza dengan landskap sekolah-sekolah lain.

Ini kerana sekolah tersebut tidak mempunyai landskap tanaman pokok dan bunga dek kerana faktor gangguan air pasang yang kerap membanjiri persekitaran sekolah itu.

Persekitarannya yang menjadi habitat hidup sejenis spesies ketam yang dipanggil penduduk setempat sebagai “enggoang” atau “ngoang’ ( bahasa Sarawak).

Enggoang atau nama saintifiknya Thalassina Anomala iaitu sejenis spesies ketam bersepit dua, berekor panjang dan berwarna kemerah-merahan yang mendiami kawasan sekitar sekolah dengan mengorek tanah dan membentuk bukit-bukit-kecil seperti busut anai-anai yang disebut penduduk sebagai ‘terungguk enggoang’.

Diklassifikasikan sebagai gabungan ketam,udang berekor, dan kala jengking, di Johor hidupan ini dikenali sebagai Jabot.

Aktiviti berterusan enggong ini menyebabkan tanah menjadi renggang dan berlubang dan seterusnya menyebabkan bangunan sekolah menjadi mendap dan senget serta tidak stabil.

Persekitaran sekolah ini kini turut dipenuhi oleh ‘terungguk enggong’ yang mencacatkan pemandangan serta mengotorkan kawasan persekiraran akibat aktviti hidupan berkenaan.

SK Tambak kini mempunyai seramai 274 murid dan 28 guru.

Kesemua kuarters guru di sekolah terbabit tidak lagi didiami kerana strukturnya tidak lagi kukuh dan tidak selamat untuk didiami.

Struktur beberapa bangunan sekolahnya juga sudah agak usang dan tidak kukuh akibat faktor tanah yang tidak stabil.

Fenomena air pasang yang mengancam sekolah ini menurut penduduk boleh diatasi dengan cara membuat benteng atau tambak bagi menghalang air pasang daripada membanjiri kawasan sekolah tersebut.

Usul dan permohonan untuk tujuan tersebut telah lama dikemukakan kepada beberapa pihak yang berkenaan. Namun semuanya belum ada jawapan.

Jika tiada tindakan diambil yang pasti warga sekolah ini akan berdepan masalah setiap kali air pasang yang akan menenggelami kawasan sekitar sekolah tersebut dan menyukarkan aktiviti warga sekolah tersebut.

Ancaman binatang berbisa seperti lipan, ular ataupun tidak mustahil akan adanya kehadiran buaya dibimbangi mengancam keselamatan warga sekolah tersebut.

Aduan tentang masalah berkenaan terap kerap kali dibuat namun tiada sebarang tindakan dilakukan.

Akibat persekitaran yang bermasalah SK Tambak tidak mempunyai padang bola sepak dan padang permainan lain.

Sehubungan dengan itu penduduk di situ berharap agar Wakil Rakyat mereka iaitu Razaili Gapor yang merupakan ADUN Beting Maro dapat menyuarakan sesuatu untuk membantu mengubah nasib sekolah berkenaan dan seterusnya menyediakan kemudahan tempat belajar yang lebih kondusif bagi warga sekolah dan penduduk di situ. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru