Saturday, December 3, 2022

Saya tak perlu pulun di Selangor, kata Azmin Ali

Secara Rawak

SUNGAI BESAR:  Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata beliau tidak perlu bekerja keras dan berkempen secara agresif di kerusi Parlimen Sungai Besar kerana kerajaan Selangor pimpinannya telah bekerja sepanjang masa dan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat, termasuk di kawasan berkenaan.

“Saya tak perlu pulun sebab kita telah kerja sepanjang masa,” kata Menteri Besar Selangor itu.

Beliau mendakwa, kepimpinannya tidak seperti Umno yang hanya turun padang sewaktu musim pilihan raya.

“Saya tak payah pulun kerja di Sungai Besar sebab ini cara Umno,” katanya.

Beliau menyatakan demikian semasa berucap pada Majlis Iftar Perdana anjuran Parti Amanah Negara (Amanah) di Parit 16, Sungai Panjang, di sini.

13418528_1122479081149770_2288086788882581878_o

Kelibat Azmin telah tidak kelihatan sejak hari penamaan calon meskipun sebelum itu beliau turun ke kawasan berkenaan, termasuk solat di beberapa masjid.

Ketiadaan  Azmin sepanjang kempen PRK Sungai Besar  telah menimbulkan  teka-teki banyak pihak.

Azmin dilihat cuba bermain selamat agar tidak menyinggung perasaan Pas kerana parti Islam itu masih sekutunya dalam kerajaan negeri.

Sebaliknya, Amanah, parti serpihan Pas menjadi sekutunya dalam Pakatan Harapan sehingga mewujudkan keadaan hubungan yang canggung.

Kata Azmin,  kerajaan Selangor telah banyak menabur jasa kepada rakyat kawasan itu sejak memegang tampuk pentadbiran negeri pada 2008.

Bagi beliau,  kerja keras tidak semesti dilakukan menjelang pilihan raya.

Azmin berkata beliau juga perlu menghadiri Majlis Berbuka Puasa Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama rakyat hampir setiap hari sejak 1 Ramadan.

“Disebabkan saya tidak turun berkempen, ramai bertanya, mana pergi Azmin? Maknanya dia tak sokong calon Pakatan Harapan?

Timbalan Presiden PKR  itu akhirnya  menyatakan sokongan kepada calon Amanah, Azhar Abdul Shukur, sambil  mengucapkan selamat maju jaya kepada calon Pas, Dr Abdul Rani Osman yang turut hadir dalam majlis itu.

Azmin didapati bermesra dengan Azhar  dan Abdul Rani sebelum majlis berbuka puasa.

Dalam ucapannya, Azmin  berkata, kerajaan negeri telah melaksanakan tanggungjawab sebagai sebuah kerajaan negeri terbaik untuk rakyat.

Katanya: “Kerajaan negeri telah pastikan khazanah negeri Selangor adalah untuk dinikmati rakyat Sungai Besar dan seluruh negeri ini.” – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru