Sarawak sasar pelancong Asia Timur untuk tingkatkan jumlah kedatangan ke negeri ini – Abang Johari

0
3

KUCHING: Sarawak mencatatkan jumlah kedatangan sebanyak 4.5 juta pelancong, yang berbelanja sekitar RM9.87 bilion di negeri ini sepanjang tahun lalu.

Jumlah ini kata Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, susut tujuh peratus berbanding tahun sebelumnya hingga menuntut kementeriannya untuk bekerja lebih keras lagi pada tahun ini untuk menerokai pasaran baharu selain memikat lebih banyak pengunjung melalui aktiviti promosi dan publisiti.

“Untuk tujuan itu, Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) telah diarahkan untuk mensasarkan kedatangan lebih ramai pelancong dari Tanah Besar China dengan mengadakan hubungan berkembar dengan bandar-bandar seperti Beijing, Shanghai, Taiwan dan Hong Kong.

“Pada tahun ini pula, kita melebarkan lagi pasaran tersebut dengan melibatkan bandar-bandar seperti Guangzhou, Shenzen, Fuzhou, Xiamen dan Tianjin,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya di Dewan Undangan Negeri Sarawak pagi tadi.

13403897_1117994891607412_3822277966788039906_o

Abang Johari menambah, Hong Kong merupakan hab yang strategik untuk STB membina pasaran di Asia Timur terutamanya dalam usaha menarik jumlah pelancong yang besar dari bahagian utara, tengah dan selatan China selain Taiwan.

“Oleh itu, kita telah menjalinkan hubungan dengan pihak Penerbangan Hong Kong, yang telah pun memulakan penerbangan langsung sulungnya ke negeri ini pada 28 Mei lalu.

Kata Abang Johari, Sarawak menawarkan alternatif terbaik kepada para pengunjung-pengunjung Asia Timur ini sebagai destinasi kedua selepas mereka menikmati suasana alam semulajadi di Sabah, dan membeli-belah di Kuala Lumpur dan Singapura.

Beberapa siri taklimat dan latihan kepada barisan hadapan sektor ini telah pun dilakukan untuk memastikan mereka dapat berkomunikasi dengan para pelawat dari negara-negara ini.

“Pada masa yang sama hubungan dagang dan sesi niaga dengan bandar-bandar seperti Hong Kong , Taipei, Fuzhou, Xiamen, Beijing dan Tianjin juga dijalinakrabkan.

“Pada Ogos ini, siri kedua usaha akrab ini akan diperluas ke kawasan-kawasan seperti Shanghai, Huangzhou dan Nanjing bagi menggerakkan hubungan dan aktiviti promosi,” jelasnya lagi.

Dedah Abang Johari lagi, berdasarkan statistik pula, taman-taman negara di negeri ini terus menyumbang sebagai destinasi yang paling popular dan diminati oleh pengunjung domestik dan antarabangsa yang berkunjung kerana aktiviti pengembaraan dan alam sekitar.

“Dianggarkan sebanyak 520 ribu pengunjung telah berkunjung ke taman-taman negara ini pada tahun lalu dan ia mendatangkan hasil sehingga RM5.14 juta.

“Daripada jumlah ini, 79 peratus merupakan pengunjung tempatan manakala selebihnya, 21 peratus adalah pengunjung asing.

Antara destinasi yang menjadi persinggahan popular ini termasuklah Pusat Hidupan Liar Semenggoh, Taman Negara Bako dan Pusat Hidupan Liar Matang.

Berkaitan penglibatan komuniti dalam aktiviti ekopelancongan negeri pula, statistik menunjukkan lebih 31,380 pelancong telah menginap di inap-inap desa di seluruh negeri ini.

“Ia membolehkan pengusaha mengaut pendapatan menjangkau RM4.3 juta , meningkat 6.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Kerana potensinya, sehingga tahun ini, sebanyak 35 pusat inap desa telah berdaftar dengan pihak kementerian, yang diusahakan oleh 488 operator.

“Pada tahun ini sebanyak empat lagi inap desa baharu telah didaftarkan iaitu di Kampung Kuala Mendalam di Limbang, Kampung Bako (Kuching), Kampung Pedada (Mukah ) dan Kampung Pichin (Serian). – Sarawakvoice.com