Saturday, December 3, 2022

Sarawak mahu ulangi sejarah 1990, juara SUKMA di tempat sendiri

Secara Rawak

Dengan meletakkan sasaran untuk merangkul sekurang-kurangnya 72 pingat emas pada kejohanan Sukan Malaysia ke-18 pada 22 Julai ini , Sarawak mengintai untuk muncul juara keseluruhan, mengulangi kejayaan yang sama pada tahun 1990.

Menteri Belia, Sukan dan Solidaritinya, Datuk Sri Michael Manyin Jawong berkata, harapan dan tugasan memburu kejayaan itu akan dipikul oleh 480 atlet dari negeri ini yang terdiri daripada 261 lelaki dan 219 wanita selain 68 pegawai.

“Mereka akan menjalani latihan pusat bermula 15 dan 17 Julai depan di Kuching sebelum melaporkan diri ke perkampungan sukan di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS),” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya di Dewan Undangan Negeri Sarawak.

Manyin berkata, beliau yakin dengan komitmen yang ditunjukkan oleh atlet-atlet ini kerana mereka telah dipilih menerusi saringan ketat sejak akhir 2014.

Penyertaan SUKMA kali ini dengan Sarawak kali kedua dipilih sebagai tuan rumah dijangka meriah kerana semua negeri di Malaysia telah mengesahkan penyertaan mereka, termasuk Brunei Darussalam.

“Selain Sarawak, Perak dan Selangor yang menyatakan komitmen mereka menyertai semua acara, kontijen terkecil adalah dari Brunei, seterusnya membentuk 15 pasukan yang bertanding.
Setelah tarikh tutup penyertaan pada 30 April lalu, Manyin memberitahu sejumlah 5,778 individu telah mengesahkan penyertaan mereka.

“ Daripada jumlah ini 2,709 merupakan atlet lelaki dan 1,840 atlet wanita, manakala 1,229 lagi merupakan pegawai pasukan.

Selain itu, terdapat ribuan pegawai dan kakitangan kerajaan serta lebih seribu sukarelawan akan terlibat membantu menjayakan kejohanan ini yang akan dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud pada 23 Julai depan, manakala majlis penutupannya disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak pada 31 Julai.

Katanya lagi, Kuching dan Samarahan akan menjadi tuan rumah 19 acara sukan yang dipertandingkan, manakala Sibu (dua) dan Miri (tiga) untuk merebut 392 pingat emas yang ditawarkan. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru