Isu 9 wakil rakyat tanpa parti perlu diselesaikan secara muktamad

0
2

KUCHING:  Isu berkaitan calon langsung Barisan Nasional yang kini tidak mempunyai parti dan ingin menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) tidak dapat terus dibiarkan berlarutan.

Dan, isu itu tidak dapat terus dibiarkan diperkatakan melalui media oleh presiden parti terbabit kerana ini tidak akan membantu meleraikan kekusutan, sebaliknya akan merumitkan lagi proses penyelesaian.

“Tiada gunanya bercakap kepada pihak media. Tiada kesudahannya. Malah, kemungkinan pihak media juga bosan dengan kita,”  kata Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Dr Stephen Rundi Utom kepada pemberita, semalam.

Beliau berkata, memandangkan konsep perkongsian kuasa dan sikap  saling menghormati antara parti komponen  BN sentiasa dipelihara,  adalah lebih baik  parti terbabit berbincang untuk menyelesaikan isu berkenaan agar semua pihak dapat melangkah ke hadapan daripada terus dibelenggunya.

“Ini supaya kita dapat melihat cara terbaik untuk maju ke hadapan bagi semua parti BN,” katanya.

Dengan mengambil contoh kerjasama berkenaan pada pilihan raya 7 Mei lalu yang memungkinkan BN memenangi 72 daripada 82 kerusi, beliau menegaskan tanpa kerjasama berkenaan, pencapaian cemerlang pasti tidak dapat diraih.

“Itu sahaja  memadai untuk menjelaskan segalanya,” katanya sambil menambah,  tiada guna melihat PBB dengan cara berbeza.

Katanya: “Lihat secara positif untuk kita bergerak ke hadapan.”

Dalam hubungan ini, beliau mencadangkan diadakan mesyuarat untuk berbincang  isu berkenaan memandangkan Pilihan Raya Umum Ke-14  hanya sekitar dua tahun lagi.

Sebelum pilihan raya lalu Ketua Menteri Tan Seri Adenan Satem telah meminta parti berkenaan – Parti Rakyat Bersatu (UPP) dan Teras, serta parti asal SUPP dan SPDP supaya menyelesaikan masalah dalaman berkaitan, tetapi semuanya menemui jalan buntu sehingga akhirnya Adenan terpaksa menggunakan strategi calon langsung.

Kini, terdapat tentangan daripada parti komponen lain terhadap kesediaan PBB untuk menerima permohonan mereka terbabit.

PBB mempunyai 40 Ahli Dewan Undangan Negeri, dan jika  parti tulang belakang BN itu menerima sembilan Adun tanpa parti,  bermakna ia akan mempunyai lebih daripada 50 peratus wakil rakyat.

Inilah yang ditentang oleh Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan SPDP.

Kelmarin Presiden SPDP Datuk Seri Tiong King Sing dilaporkan media sebagai berkata pentingnya konsep perkongsian kuasa dipelihara bagi menjamin keharmonian dalam BN, dan bagi mengelak ia menjadi bom jangka yang bakal meledak.

Dr Rundi mengakui pentingnya menghargai kebebasan berpersatuan diberi kepada sembilan wakil rakyat terbabit, dan menambah, bagaimana jika mereka tidak mahu kembali ke parti asal tiada apa yang dapat dilakukan oleh PBB.

Pada waktu yang sama, BN juga tidak boleh membiarkan mereka tanpa parti.

Hakikatnya, masalah ini timbul adalah atas bikinan BN sendiri, dan kini ia sedang bergelut mencari jalan penyelesaian terbaik untuk meleraikannya.

Dr Rundi berkata mereka boleh pergi ke parti asal,  sambil menambah, “Kami  tiada  waswas mengenai perkara itu, namun  jika mereka tidak mahu menyertai parti asal, apa yang kami boleh buat?”  tanya beliau.

Sebenarnya, parti asal, malah PRS telah membuka pintu dan bersedia menerima wakil rakyat berkenaan, tetapi disebabkan kestabilan dan kekuatan PBB, mereka cenderung memilih  parti pimpinan  Adenan. – Sarawakvoice.com