Empat mangsa culik melutut ucap terima kasih, dipukul dan berlapar sepanjang dalam tahanan

SIBU: Empat mengsa culik yang dibebaskan oleh militan Abu Sayyaf melutut kepada pihak media pagi ini sebagai tanda syukur dan terima kasih atas pembebasan mereka.

Keempat-empat mereka melutut pada permulaan sidang media pagi tadi di kediaman mereka di Pulau Li Hua dekat sini bagi merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu dan mendoakan pembebasan mereka.

Seorang daripada mangsa terbabit, Wong Tek Kang, 31, berkata lebih dua bulan berada dalam tahanan kumpulan terbabit, ia adalah pengalaman pahit yang tidak akan dilupakan sepanjang hidup mereka.

“Jika boleh saya mahu melupakan terus peristiwa itu, namun ia tentunya sukar. Bukan hanya sekadar dipukul, malah turut dibiarkan berlapar sehingga tiga hari… cukup trauma apabila mengenangkan semula kejadian itu.

“Kami ketakutan sepanjang masa, lebih-lebih lagi kawasan terbabit pernah dibom oleh pihak tentera (Filipina) dalam usaha memerangi kumpulan militan terbabit.

Tek Kang yang bercakap bagi pihak mangsa dalam bahasa Foochow dan Mandarin memberitahu pihaknya terhutang budi dan nyawa kepada orang ramai, ahli keluarga, polis dan pemimpin negara atas bantuan yang dihulurkan.

“Dengan sokongan semua pihak dan pihak polis, kami dapat pulang dengan selamat. Kami merakamkan setinggi-tinggi terima kasih,” katanya.

Tiga lagi mangsa adalah adik Tek Kang, Wong Teck Chii, 29; sepupu mereka, Johnny Lau Jung Hien, 21, dan Wong Hung Sing, 34.

Pada lewat petang 1 April lalu, keempat-empat mereka yang bertugas sebagai krew kapal tunda Massive 6 sedang dalam perjalanan ke Tawau dari Manila, sebelum kapal tunda tersebut dinaiki sekumpulan lanun bersenjata di perairan Pulau Ligitan.

Kumpulan yang dipercayai militan Abu Sayyaf itu kemudian menculik keempat-empat mereka dan sebelum memecut lari ke perairan Filipina dengan menaiki sebuah bot laju dengan enjin berkembar.

Mereka hanya dibebaskan 7 Jun lalu, setelah berlaku perundingan berikutan penculik menuntut wang tebusan bernilai RM12 juta sebagai tukaran pembebasan.

Keluarga mangsa dikatakan tertekan dan berusaha mengumpul sumbangan orang ramai untuk tujuan membayar tebusan tersebut.

Keempat-empat mereka yang dibebaskan itu diterbangkan ke Sibu dari Kota Kinabalu semalam dengan menaiki pesawat Mas Wings MH3183 dengan diiringi oleh dua anggota polis berpakaian preman. – Sarawakvoice.com