Monday, November 28, 2022

SK Buda buka mata semua pihak, hentikan kerja korek pasir di Batang Saribas – Razi Sitam

Secara Rawak

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeru kawasan Saribas, Mohammad Razi Sitam  semalam berkata, insiden Sekolah Kebangsaan Buda di Spaoh, Saribas yang terhumban ke dalam sungai minggu lalu seharusnya “membuka mata” kerajaan untuk menyegerakan apa jua permohonan untuk memperbaiki dan menggantikan sekolah-sekolah usang di negeri ini.

15“Seharusnya telah wujud perancangan berterusan untuk membaik pulih dan menaik taraf infrastruktur sekolah-sekolah lama ini,” katanya sewaktu membahaskan ucapan Yang di-Pertua Negeri di Dewan Undangan Negeri Sarawak, semalam.

SK Buda merupakan antara 486 sekolah di negeri ini yang dikategorikan sebagai berisiko tinggi tetapi masih lagi digunakan.

Sekolah ini mengalami kemusnahan peratus 80 daripada kejadian tanah runtuh selepas kawasan tersebut dilanda arus deras Batang Saribas.

Ia kemudian diisytiharkan tidak selamat untuk beroperasi apabila sesi persekolahan disambung semula semalam.

Menurut Razi, kerajaan telah bersetuju untuk menyuntik dana sebanyak RM1 juta sebagai dana tambahan Bantuan Bencana Kementerian Pelajaran untuk membina semula sekolah yang terletak 2.5km dari tapak asal.

Mohammad Razi berkata,  kebanyakan sekolah yang berisiko tinggi ini terletak berhampiran tebing sungai; dan ia terdedah kepada bahaya hakisan sungai.

“Saya berharap kerajaan pusat akan memperuntukkan dana yang lebih besar untuk membaiki atau membina semula semua sekolah luar bandar yang usang di negeri ini.

“Perlu juga ada perancangan jangka pendek dan jangka panjang untuk mengubah sekolah-sekolah ini,” tegasnya.

Beliau turut mencadangkan bahawa kerja-kerja untuk membaiki atau membina semula sekolah-sekolah ini perlu berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Razi berkata, beliau berharap SK Sebemban, yang turut mengalami nasib yang sama seperti SK Buda pada tahun lepas digantikan sepenuhnya.

“Walaupun ada bangunan sementara, isu hakisan tebing sungai adalah kritikal, dan menjadikan sekolah tersebut tidak selamat.

Dalam perkembangan lain, Razi menggesa kerajaan negeri untuk menghentikan kerja-kerja mengorek pasir di Sungai Saribas dan Batang Layar dalam usaha untuk menghentikan masalah hakisan tebing sungai. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru