Thursday, December 8, 2022

Sarawak catat RM11.68 bilion pelaburan asing pada 2015, kedua tertinggi di Malaysia: Awang Tengah

Secara Rawak

KUCHING: Sarawak mencatatkan nilai pelaburan sebanyak RM11.8 bilion pada tahun lalu ­untuk muncul negeri kedua tertinggi di negara ini selepas  Johor  (RM31.1 bilion)  menjadi pilihan pemodal asing.

Menurut Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan, Perdagangan dan Pelaburan  Negeri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, nilai pelaburan ini meletakkan Sarawak di hadapan Selangor yang sekadar mencatatkan  nilai pelaburan sebanyak RM7.9 bilion dan Melaka RM6.8 bilion.

“Nilai ini terkumpul daripada 22 projek yang diluluskan di negeri ini meliputi sektor  petroleum dan produk berkaitan (LNG) sebanyak RM10.4 bilion, produk berasas logam (fabrik logam)  RM653.9 juta dan produk elektrik dan elektronik RM590 juta.

“Pelaburan-pelaburan ini bukan sahaja mewujudkan peluang perniagaan malah lebih 1,900 peluang pekerjaan di negeri ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya di Dewan Undangan Negeri Sarawak, petang ini.

Awang Tengah berkata, pada masa yang sama, Jawatankuasa Penyelarasan Perindustrian Negeri (ICC) telah meluluskan 39 projek bernilai RM325.6 juta terutamanya dalam sektor petrokimia,  peralatan pengangkutan, produk asas logam , pengeluaran makanan dan produk mineral bukan logam, yang dijangka mewujudkan lebih  870 peluang pekerjaan.

“Sehingga Mei 2016, jawatankuasa ini telah mengemukakan cadangan 12 projek dengan nilai RM4.8 bilion untuk diluluskan  di bawah Akta Penyelarasan Perindustrian (ICA).

“Projek-projek ini dijangka akan mewujudkan 4,500 peluang pekerjaan di negeri ini,” katanya lagi.

Jawatankuasa ini juga katanya, telah meluluskan 34 projek bernilai RM104.6 juta,  terutamanya dalam sektor produk mineral bukan logam, perkhidmatan, kimia dan produk kimia, produk asas kayu dan produk asas logam.

“Ia  dijangka menghasilkan tambahan  600 lagi peluang pekerjaan,” tambahnya.

Meski  telah memperoleh pencapaian yang memberangsangkan, Awang Tengah berkata, kerajaan negeri akan terus berusaha menarik lebih banyak pelaburan asing, terutama yang berteraskan teknologi dan inovasi.

“Sebagai contoh,  yang terkini bersetuju menanam modal di negeri  ini termasuklah Xian LONGI Materials Corporation dari China yang  bersetuju menanam modal sebanyak RM1.066 bilion di Taman Teknologi Tinggi Samajaya.

Pada suku pertama 2017, LONGI  dijangka akan menggerakkan operasi fasa pertamanya dengan menghasilkan jongkong dan wafer, melibatkan 1,700 pekerja.

“Jumlah tenaga kerja ini akan ditingkatkan kepada  2,300 orang apabila kilang ini siap sepenuhnya menjelang suku pertama 2018.

Selain LONGI, ada dua lagi syarikat multinasional yang akan turut beroperasi di Taman Teknologi Tinggi Samajaya dengan nilai pelaburan sekitar RM800 juta, katanya. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru