KUALA KANGSAR: Di sebalik kritikan dan keraguan segelintir pihak tentang mengapa Datin Mastura Mohd Yazid dipilih sebagai calon Umno-Barisan Nasional, Menteri Besar Perak mempunyai alasan untuk menangkis hujah pihak terbabit.
Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menjelaskan Mastura perlu menjadi Ahli Parlimen Kuala Kangsar kerana daripada senarai nama yang dikemukakan, Mastura paling popular.
Katanya, pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar diadakan ekoran kematian Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, suami Mastura dalam nahas helikopter menjelang pilihan raya Sarawak awal Mei.
Katanya, berdasarkan kajian terhadap penduduk semua kaum di Kuala Kangsar, didapati sebahagian besar mahukan Mastura ditampilkan sebagai calon.
Mastura yang kerap bersama suaminya ketika beliau menjadi Ahli Parlimen dikatakan faham akan masalah dan aspriasi penduduk di Kuala Kangsar.
Justeru, kebanyakan penduduk, kata menteri besar, mahukan beliau meneruskan tugas Allahyarham suaminya.
Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada majlis ramah mesra dengan masyarakat Cina di Dewan Chiau Hooi Beo, Talang.
Dr Zambry yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak berkata,pengundi mahu wakil rakyat yang dapat menjalankan tugas dan tanggungjawabnya.
“Kita mahukan wakil rakyat yang boleh buat kerja, bukannya pemimpin yang suka hentam sana hentam sini tetapi kerja tak buat,” katanya.
Mastura juga menurut Menteri Besar Perak memiliki ciri pemimpin yang diterima baik tanpa mengira kaum.
Katanya: “Kita mahu pemimpin yang bila orang Melayu, Cina, India atau Orang Asli panggil, dia datang, bukannya bila orang ini panggil dia datang, tapi bila ada orang lain panggil, dia tidak mahu datang.”
Lagipun, para pengundi sudah kenal beliau kerana terdedah dengan politik sejak lama di kawasan itu.
Mastura akan ditentang dalam pertandingan empat penjuru oleh calon Pas, Amanah dan Bebas pada Sabtu ini. – Sarawakvoice.com