Kerajaan tumpu kawasan luar bandar selepas 80.5 peratus negeri Sarawak dibekal air bersih – Stephen Rundi

0
6

KUCHING: Sehingga tahun 2015, sebanyak 80.5 peratus kawasan di negeri ini berjaya dibekalkan dengan air terawat, dan ia merupakan peningkatan yang mendadak berbanding hanya 65 peratus pada tahun 2004, kata Menteri Kemudahan Awam, Datuk Stephen Rundi Utom.

Steohen Rundi 2Menurutnya, pencapaian ini adalah sesuatu yang positif dan kerajaan sedang memberi tumpuan untuk meningkatkan kapasiti liputan ke kawasan luar bandar.

“Untuk tujuan ini, kerajaan negeri telah menubuhkan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak sejak 1 September tahun lalu, bagi memberi fokus kepada usaha membekalkan air bersih di kawasan-kawasan yang masih belum diliputi, serta memastikan bekalan air tersebut adalah berkualiti,” katanya.

Menurut Rundi, di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11), sebanyak RM3.62 bilion telah dipersetujui oleh kerajaan untuk tujuan pelaksanaan projek pembekalan air bersih di negeri ini, termasuk meneruskan projek yang dibawa ke hadapan daripada Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10).

Daripada jumlah ini, RM2.67 bilion merupakan projek di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), katanya.

“Justeru bagi menjayakan projek-projek pembekalan ini, kementerian ini akan berusaha untuk mendapatkan lebih banyak dana selain mendapatkan lebih penurunan kuasa daripada kerajaan pusat untuk membolehkan kerajaan negeri melaksanakan sendiri perancangan dan pelaksanaan projek, manakala kerajaan pusat hanya perlu bertindak memperuntukkan dana tersebut kepada kerajaan negeri.”

Dalam menjayakan usaha meningkatkan kadar liputan di luar bandar ini, kementeriannya juga akan berkerjasama rapat dengan Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan bagi membolehkan perancangan dan pelaksanaan projek pembekalan air dan elektrik di kawasan luar bandar negeri ini diadakan selari dengan projek konektiviti jalan luar bandar yang sedang diusahakan mereka.

Stephen Rundi 3

“Bagi kawasan-kawasan yang tidak dapat dihubungi dengan laluan darat, kementerian akan memikirkan kaedah alternatif.

“Satu program yang dinamakan Pembekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS) akan dibangunkan bagi mencari kaedah dan melaksanakan sistem alternatif yang bersesuaian dengan pelbagai bentuk muka bumi negeri ini, baik di kawasan pinggir pantai mahupun di kawasan pedalaman.

Untuk tujuan tersebut katanya , kementerian akan berusaha mendapatkan peruntukan tambahan daripada kerajaan pusat.

Menjawab soalan beberapa wakil rakyat yang kawasan mereka berhadapan masalah tekanan air rendah , Rundi berkata, ia berpunca daripada penggunaan paip simen asbestos dan paip besi yang masih banyak digunakan dalam sistem saluran air di negeri ini.

Kebanyakan salur paip ini telah berusia lebih 30 tahun dan perlu ditukar kerana kecenderungan untuk pecah dan bocor.

“Malah paip polyethylne berkuasa tinggi yang digunakan sejak 1980-an juga semakin uzur dan kurang sesuai untuk zaman ini.”

Sehubungan itu, katanya kementeriannya kini sedang mendapatkan dana yang diperlukan untuk tujuan naik taraf paip-paip tersebut tersebut manakala agensi-agensi pembekalan air di negeri ini masing-masing sedang merangka pelan komprehensif untuk kerja-kerja penukarannya.

Pada sesi penggulungan tersebut, Rundi turut mengumumkan kelulusan projek Bekalan Air Bario di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) berjumlah RM25 juta yang akan dinikmati oleh sekitar 5,400 penduduk.

Pada masa yang sama Loji Rawatan Air Marudi pula diluluskan untuk dilaksanakan pada RMK11 dengan kos keseluruhan dianggarkan RM28 juta. Projek ini dijangka akan dinikmati oleh 11,900 isi rumah.

Beliau turut mengumumkan pelaksanaan projek bekalan air bersih ke kawasan Batang Ai Hilir dan kawasan Skrang Hilir, yang akan dilaksanakan dalam RMK11 dengan anggaran kos sebanyak RM 46.2 juta. – Sarawakvoice.com

Stephen Rundi1