Buktikan saya anti-Melayu, anti-Islam, kata Lim Kit Siang

0
6

KUALA KANGSAR: Dalam percubaannya untuk menangkis tuduhan bahawa beliau anti-Melayu dan anti-Islam, pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang malam semalam mencabar menteri dan pemimpin Umno supaya memberi bukti konkrit bahawa beliau bersikap demikian.

Sambil menyeru agar pemimpin terbabit memberikan tumpuan terhadap usaha untuk menyatupadukan masyarakat pelbagai etnik di negara ini,  Kit Siang mahu mereka menghentikan politik kebencian dan pembohongan.

“Saya cabar menteri Umno memberi satu contoh bahawa saya anti-Melayu dan anti-Islam sepanjang 50 tahun saya dalam politik,” katanya.

Bagi Lim usaha perpaduan perlu digerakkan bagi membina negara Malaysia yang hebat dan  makmur.

Lim menafikan sekeras-kerasnya bahawa beliau bersikap demikian, sambil menyebut beberapa label yang telah dihalakan Umno terhadapnya termasuk punca tragedi 13 Mei serta menyifatkan Amanah dan Dr Mahathir sebagai boneka beliau.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu berucap dalam kempen untuk membantu calon Amanah di Kuala Kangsar malam semalam.

Lim juga mempersoalkan serangan Pas terhadap beliau.

Beliau menyoal Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang sama ada beliau menjadi boneka DAP selama tujuh tahun ketika dalam Pakatan Rakyat.

“Jika tidak, mengapakah Pas meniru taktik tidak beretika Umno dengan menuduh pemimpin Amanah sebagai boneka DAP, ” katanya. – Sarawakvoice.com