Amanah yakin dapat menang dengan majoriti kecil di Kuala Kangsar

0
5

KUALA KANGSAR: Di sebalik cabaran dan tentangan yang dihadapinya, Parti Amanah Negara (Amanah) tetap yakin dapat melakukan kejutan pada Sabtu ini.

Berdepan dengan calon Barisan Nasional, Pas dan Bebas dalam pertandingan empat penjuru, parti komponen Pakatan Harapan itu menaruh harapan untuk menang dengan majoriti kecil pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar.

Pada pilihan raya 2013,  BN menang dengan majoriti 1, 086 undi.

Amanah yang turut dibantu oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam kempennya,  percaya bahawa bukan mustahil untuk menewaskan BN dan Pas.

Pengerusi Amanah Perak Asmuni Awi berkata kemungkinan Amanah dapat menang dengan majoriti undi satu angka, berdasarkan kajian yang dilakukannya.

“Bukan mustahil kami dapat menang dengan majoriti undi satu angka,”  katanya kepada pihak media.

Peratusan yang turun mengundi banyak menentukan pola pengundian nanti.

Justeru, Asmuni berharap pengundi di luar kawasan akan kembali untuk turun mengundi 18 Jun ini.

Asmuni berkata parti berkenaan telah menghubungi dan membujuk  pengundi terbabit supaya kembali ke kawasan untuk mengundi.

Kebimbangan sekarang ialah pengundi di luar tidak akan kembali. Pertama, mereka beranggapan PRK ini tidak akan mengubah kerajaan.

Kedua, cuti Hari Raya Aidilfitri adalah agak dekat, maka alang-alang untuk mereka kembali.

Besar kemungkinan menurut pemerhati peratusan yang turun mengundi adalah sekitar 65 hingga 70 peratus sahaja.

Meskipun Amanah yakin memenanginya, pemerhati bebas percaya bahawa kerusi berkenaan akan memihak kepada Barisan Nasional dengan majoriti undi yang mengukuh. – Sarawakvoice.com