Akta Majlis Keselamatan Dalam Negeri 2016 kini diwartakan dan menunggu untuk pelaksanaan

0
3
Nancy Shukri

Rang Undang-undang perlu melalui proses parlimen, dalam kedua-dua Majlis Parlimen sebelum ia menjadi undang-undang.

Secara umumnya, Rang Undang-undang akan dibentangkan di Dewan Rakyat dan akan melalui empat peringkat iaitu, bacaan pertama, bacaan kedua, Peringkat Jawatankuasa dan bacaan ketiga.

Dalam bacaan pertama, tajuk Rang Undang-undang akan dibaca dan tidak ada perbahasan yang terlibat. Dalam bacaan kali kedua, ahli-ahli Parlimen akan membahaskan merit umum dan prinsip Rang Undang-Undang tersebut.

Selepas itu, Rang Undang-Undang ini akan dikemukakan kepada Jawatankuasa Dewan. Pada Peringkat Jawatankuasa ini, Jawatankuasa kedua-dua Dewan tidak akan membahaskan prinsip Rang Undang-undang tetapi sebaliknya akan meneliti secara terperinci setiap klausanya.

Jika tidak ada pindaan yang dicadangkan atau pindaan yang dicadangkan itu telah dilupuskan, Pengerusi Jawatankuasa akan melontarkan soalan kepada Jawatankuasa untuk keputusan.

Kemudian, Menteri yang bertanggungjawab bagi Rang Undang-Undang tersebut akan membawanya kepada Dewan. Setelah dibentangkan kepada Dewan, Rang Undang-undang akan dibaca kali ketiga dan diluluskan. Rang undang-undang itu akan melalui proses yang sama pada persidangan Dewan Negara seperti dalam Dewan Rakyat.

Selepas Rang Undang-undang tersebut diluluskan oleh kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara, Rang Undang-undang ini akan dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenankan.

Fasal (4) Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa “Yang di-Pertuan Agong hendaklah dalam masa tiga puluh hari selepas Rang Undang-Undang dikemukakan kepadanya memperkenankan Rang Undang-Undang itu dengan menyebabkan Mohor Besar dicapkan dengannya.”

Walau bagaimanapun, jika Rang Undang-Undang tersebut tidak diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong dalam tempoh tiga puluh hari yang dinyatakan di bawah Fasal (4) Perkara 66, Rang Undang-Undang hendaklah menjadi undang-undang apabila tamat tempoh tiga puluh hari mengikut cara yang sama seolah-olah dia telah memperkenankannya. Ini adalah selaras dengan Fasal (4A) Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan.

Dalam kes Akta Majlis Keselamatan Negara 2016, tempoh tiga puluh hari telah luput dan dengan itu Rang Undang-undang tersebut telah menjadi undang-undang menurut kuasa Fasal (4A) Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan.

Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 telah diterbitkan dalam Warta pada 7 Jun 2016.

Dengan kuasa subseksyen 1 (2) Akta Majlis Keselamatan Negara 2016, Akta ini akan berkuat kuasa pada tarikh yang ditetapkan oleh Perdana Menteri dan tarikh permulaan kuat kuasa Akta akan diterbitkan dalam Warta.

Bagaimanapun, sehingga kini Perdana Menteri masih belum menetapkan tarikh bila Akta Majlis Keselamatan Dalam Negeri akan mula dilaksanakan.

– YB Nancy Shukri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri