Sunday, September 25, 2022

Rayani Air tak boleh terbang

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan Rayani Air, hari ini dibatalkan lesen perkhidmatan udaranya, menurut kenyataan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).

MAVCOM berkata keputusan itu dibuat selepas Rayani Air yang berkonsepkan patuh syariah,  melanggar syarat  lesen yang ditetapkan, selain kedudukan kewangan dan komersial yang lemah untuk membolehkannya terus  beroperasi..

“Justeru, Rayani Air tidak lagi dibenarkan beroperasi sebagai sebuah syarikat penerbangan komersial berkuat kuasa hari ini,” kata MAVCOM dalam kenyataannya.

Sebelum ini, MAVCOM mengeluarkan surat tunjuk sebab mengenai daya tahan kewangan dan daya saing syarikat tersebut.

Jawapan yang dihantar Rayani Air pada hari terakhir tempoh yang ditetapkan MAVCOM, gagal memberi penjelasan memuaskan, kata kenyataan itu.

Sementara itu, suruhanjaya itu berkata syarikat itu perlu memulangkan wang kepada pengguna yang membeli tiket.

Katanya, sekiranya pengguna gagal mendapat pulangan wang, para pengguna boleh mengambil tindakan undang-undang berdasarkan undang-undang sedia ada. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru