Dr Muhammad Asri Mohd Ali
Dr Muhammad Asri Mohd Ali

Keputusan dua PRK,  iaitu di Sungai Besar dan Kuala Kangsar bukan lagi suatu perkara yang rahsia. Semua pihak yang waras akan menyatakan bahawa BN akan menang.

Sebelum ini kemenangan BN dikatakan mempunyai kaitan dengan pertembungan tiga penjuru antara BN, PAS dan Amanah. Banyak yang lupa bahawa Perdana Menteri  juga boleh menjadi penentu kepada kemenangan parti bertanding.

Sebaik sahaja masuk hari kelima kempen, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa pembayaran BR1M untuk kali ketiga pada tahun ini diawalkan kepada 15 Jun 2016. Pengumuman ini saya fikir samalah seperti situasi bom atom yang digugurkan di Hiroshima dan Nagasaki di penghujung Perang Dunia Kedua yang menjadi menutup kepada tragedi peperangan tersebut.

Itu belum lagi diambil kira bayaran yang diberikan kepada pekebun kecil getah (RM193 juta), pembinaan jambatan yang menghubungkan Kampung Manong ke pekan Manong merentasi Sungai Perak (RM43.5 juta) dan menaik taraf Kolej Islam Sultan Azlan Shah kepada status universiti.

Semua ini menunjukkan iltizam BN untuk terus mengekalkan kerusi parlimen milik mereka dan seterus melenyapkan segala kritikan dan tohman yang  dihadapi Putrajaya.

Dua PRK ini memperlihatkan parti pembangkang tidak berada di pentas atau liga yang setanding dengan BN.

Pertandingan tiga penjuru seperti yang terlihat dalam dua PRK ini, iaitu antara Amanah, PAS dan calon BN menjadi peluang  parti pembangkang agak tipis. Apa yang menarik untuk diperhatikan  pada hari mengundi nanti  ialah parti pembangkang mana yang akan menduduki tempat kedua selepas BN.

13418935_10153559917820952_8076036417192472540_n

Adakah Amanah atau PAS?

Perkelahian antara DAP dengan PAS kelihatan diteruskan dalam bentuk Amanah melawan PAS dalam dua PRK ini. Tuduh-menuduh antara kedua-dua parti tersebut kelihatan seperti tidak ada penghujungnya.

Ini menyebabkan ada pengundi tertanya-tanya, mana satu musuh utama kepada Pakatan Harapan, PAS atau BN?

Berdasarkan strategi kempen Pakatan Harapan di dua PRK ini nampaknya PAS seakan-akan menjadi musuh utama kepada mereka. DAP mengajak pengundi Cina supaya tidak memberikan undi mereka kepada PAS, sementara itu PKR pula bertindak mengepong pengundi Melayu yang propembangkang supaya mengundi calon Amanah. Isu mengenai BN dan calon BN nampaknya menjadi isu lapis kedua, atau sampingan sahaja.

Dua pemimpin utama Pakatan Harapan, iaitu Presiden PKR dan penasihat DAP kelihatan agak fokus dengan dua PRK ini. Datin Seri Dr Wan Azizah berkempen untuk calon Amanah di Kuala Kangsar dan Lim Kit Siang aktif di Sungai Besar.

Namun begitu, salah seorang pemimpin kanan Pakatan Harapan iaitu Azmin Ali hanya turun di Sungai Besar semasa hari penamaan calon sahaja. Selepas itu, kelibatnya tidak lagi kelihatan. Ini berbeza dengan Lim Guang Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang yang ikut sama membantu calon Amanah di Kuala Kangsar.

bagaikan bom atomSikap dingin yang ditunjukkan Azmin Ali yang merupakan Timbalan Presiden PKR dan juga Menteri Besar Selangor terhadap calon Amanah menimbulkan spekulasi bahawa Azmin Ali tidak mahu kedudukan pasukan Rafizi menjadi semakin kuat dalam PKR sekiranya Amanah mendahului calon PAS.

Azmin sedar bahawa hubungan PKR dengan PAS di Selangor menjadi talian hayat kepada jawatannya sebagai Menteri Besar Selangor.

Sekiranya semua ADUN PAS seramai 13 orang menarik diri daripada kerajaan PKR Selangor, kedudukan Azmin sebagai Menteri Besar tidak ubah seperti telur di hujung tanduk.

Pemimpin Amanah sudah tentu akan berdendam dengan Azmin Ali selepas ini. Tetapi apa boleh buat, kekuatan DAP dan Amanah juga dilihat akan melemahkan kedudukan Azmin. Oleh itu ada baiknya Azmin memastikan PAS lebih kuat berbanding dengan Amanah dan DAP.

Dua PRK pada kali ini  nampaknya lebih banyak memberi musibah kepada parti pembangkang. Perkelahian dalam Pakatan Harapan semasa PRN ke-11 Sarawak belum lagi reda, kini mereka berhadapan dengan permainan politik dalaman PKR dan tidak mustahil bakal berkelahi dengan lebih intensif lagi selepas dua PRK ini.

Keadaan hiruk-pikuk dalam kerjasama pakatan pembangkang jelas menunjukkan bahawa ketiadaan pemimpin yang boleh menjadi penyatu dan dihormati oleh semua pihak. – Sarawakvoice.com