Sunday, September 25, 2022

Hudud: YB dari Sarawak, jangan mengarut, kata Profesor

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Pensyarah kontroversi Profesor Ridhuan Tee Abdullah berkata setiap lapisan umat Islam termasuk dari Sarawak perlu menyokong rang undang-undang (RUU) persendirian hudud yang dibentangkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada bulan lepas.

Pendakwah bebas itu berkata, Ahli Parlimen dari Sarawak harus tahu membezakan antara tugas sebagai ahli parlimen dengan sebagai individu beragama Islam.

“Jika tidak setuju, diam sahaja. Jangan mengeluarkan kenyataan mengarut,” kata beliau dalam kolum Sinar Harian, hari ini. 

Katanya lagi, umat Islam tidak sepatutnya menentang rang undang-undang berkenaan meskipun  mereka berasal dari Sarawak.

Ridhuan merupakan salah seorang aktivis yang telah disekat daripada memasuki Sarawak kerana pandangannya dianggap boleh merosakkan hubungan etnik dan agama masyarakat pelbagai etnik di Sarawak.

RUU itu ialah Rang Undang-Undang Persendirian Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016.

Daripada 2.6 juta penduduk Sarawak, 46 peratus ialah Kristian, dan sekitar 25 peratus Islam.

Bagi beliau, RUU tidak boleh dipersoalkan bukan Islam seperti mana cara hidup mereka tidak dicampuri umat Islam.

Berkaitan RUU yang dibentangkan oleh Ahli Parlimen Marang  itu, Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem telah meminta Ahli-ahli Parlimen Sarawak menolak usul yang akan dibentangkan Abdul Hadi pada Oktober depan.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak, itu berkata, arahan telah dikeluarkan dan Kerajaan BN Negeri bersepakat untuk tidak menerima undang-undang tersebut.

RUU yang dibentangkan oleh Hadi di Parlimen bertujuan untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 berkaitan dengan had jumlah hukuman.

Sarawak, negeri yang terbesar di Malaysia, memegang 31 daripada keseluruhan 222 kerusi Parlimen.

Daripada 31 Ahli Parlimen, 25 adalah dari BN, manakala pembangkang mempunyai enam. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru