BAU:  Bagi memastikan taraf hidup penduduk di kawasan Tasik Biru, Ahli Dewan Undangan Negerinya akan berusaha sedaya upaya untuk merancang dan melaksanakan perubahan di kawasan terbabit walaupun mungkin menerima tentangan.

Datuk Henry Jinep berkata beliau akan memastikan rancangannya itu dilaksanakan meskipun kemungkinan ditentang sesetengah pihak.

“Meskipun ada orang yang tidak suka tetapi kita perlu berubah agar dapat mengikuti peredaran zaman,” katanya.

Beliau berkata akan berusaha untuk membawa perubahan selaras dengan aspirasi rakyat dan pengundi yang telah memberi sokongan kepada beliau pada pilihan raya negeri 7 Mei lalu.

13319699_466866403512353_3660722357453447628_n

Henry mahu memastikan  impian dan aspirasi generasi muda juga akan diambil kira dalam segala perubahan yang bakal dilaksanakan.

Beliau berkata, usaha tersebut amat penting bagi menjamin kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat dapat terus ditingkatkan.

Sambil mengakui bahawa beliau sering berbincang dengan Ahli Parlimen  Mas Gading Anthony Nogeh tentang isu pembangunan di kawasan Mas Gading dan Tasik Biru, beliau menekankan pentingnya rakyat menerima perubahan.

“Saya mahu rakyat berubah terutama dari segi ekonomi serta pendidikan, dan bukannya mengikut cara lama,” katanya ketika berucap pada majlis kesyukurannya sebagai Adun Tasik Biru di Dewan Sukan dan Rekreasi Sudoh, Singai di sini.

Henry turut menyarankan agar ibu bapa di Tasik Biru berjimat cermat dalam perbelanjaan, sebaliknya menggunakan wang sebagai pelaburan  dalam bidang pelajaran untuk masa depan anak-anak mereka.

Beliau mahu setiap keluarga memastikan anak mereka dapat  memasuki universiti.

“Perkara ini paling penting agar mereka dapat mengharungi masa depan yang lebih baik,” katanya. – Sarawakvoice.com