Wednesday, November 30, 2022

Chieng Jen minta Yayasan Sarawak kaji semula penolakan tajaan 43 pelajar cemerlang negeri ini belajar di universiti ternama di luar negara

Secara Rawak

KUCHING:  Ketua Pembangkang, Chong Chieng Jen (DAP-Kota Sentosa) hari ini memohon Yayasan Sarawak agar menukar dasarnya dalam pemberian biasiswa dengan memberi pembiayaan kepada para penuntut cemerlang dari negeri ini untuk mendapat peluang melanjutkan pembelajaran di luar negeri.

_MG_4862Bercakap kepada media selepas mencelah ketika Menteri Kewangan Kedua, Datuk Sri Wong Soon Koh menyampaikan usul pindaan Rang Undang-Undangan Pembekalan (2016) bacaan kedua, Chieng Jen berkata, beliau bersuara kerana terdapat 43 pelajar cemerlang dari negeri ini yang gagal untuk melanjutkan pelajaran ke universiti terbilang dunia berikutan tindakan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menghentikan tawaran biasiswa pada 2016.

“Mereka merupakan pelajar terbaik yang dijanjikan peluang biasiswa oleh JPA pada 2014 namun pembelajaran mereka tergantung berikutan tindakan JPA menghentikan penajaan biasiswa.

“Ketika penarikan balik biasiswa ini berlaku pada tahun lalu, Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem telah berjanji untuk menyelesaikannya dengan meminta Yayasan Sarawak menaja pembiayaan pelajar-pelajar dari negeri ini yang terkandas berikutan keputusan JPA itu.

“Bagaimanapun apabila mereka berurusan dengan Yayasan Sarawak, mereka difahamkan biasiswa tersebut ditawarkan oleh universiti di dalam negara sahaja.

_MG_4855

“Keadaan ini menyebabkan mereka terpaksa meneruskan pembelajaran di dalam negara dan menolak tawaran universiti ternama di luar negara seperti University of Barckeley, Imperial College of London, Australian Medical University,” katanya.

Chieng Jen menambah, beliau meminta Tan Sri Adenan menghormati janjinya untuk membantu 43 pelajar ini, yang kecewa dengan keputusan Yayasan Sarawak itu.

“Jika Yayasan Sarawak mempunyai polisi untuk tidak menaja pelajar belajar di luar negara, sila pinda polisi itu kerana kita tidak mampu untuk kehilangan bakat seperti ini,” katanya.

Chieng Jen menambah, beliau tidak berniat menjadikan isu tersebut sebagai “modal politik”, kerana itu ia dibawa ke dalam persidangan Dewan Undangan Negeri agar tindakan boleh diambil sewajarnya.

“Saya boleh membuat kenyataan ketika musim pilihan raya lalu, tetapi saya memilih untuk menyuarakannya di dewan yang mulia ini kerana pendidikan bukanlah perkara yang perlu dipolitikkan,” katanya. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru