Bomba Sarawak cipta rekod bina sebuah rumah dalam tempoh 24 hari

0
4

KUCHING: Ketangkasan dan kepantasan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak dalam membina rumah baharu untuk mangsa kebakaran dalam tempoh yang singkat menarik perhatian Menteri Muda Kemudahan Awam (Elektrik dan Telekomunikasi) Dr Abdul Rahman Junaidi.

Menurutnya, tempoh 24 hari untuk menyiapkan sebuah rumah yang lengkap dengan kemudahan asas adalah rekod yang menakjubkan, apatah lagi dilakukan atas semangat tanggungjawab sosial.

“Saya amat kagum dan berterima kasih kepada pihak bomba kerana berjaya melaksanakan projek-projek seperti ini menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan Ketujuh (NBOS7).

“Bomba telah melakukan tugasan yag cukup hebat dengan siapnya rumah ini hingga dapat digunakan sebelum Aidilfitri, dalam tempoh tiga minggu akan datang.

“Ini sudah pasti menceriakan penghuni yang terlibat,” katanya pada majlis penyerahan kunci rumah kepada pemiik rumah, Sharifah Mastura Wan Hussain di Kampung Sourbaya Ulu dekat sini, pada Sabtu.

Sehubungan itu, Abdul Rahman berharap kerjasama seperti ini dapat terus dilaksanakandengan pihak Bomba Sarawak terutama bagi mangsa-mangsa kebakaran di Kampung Seberang Hilir pada tahun ini.

Pada 11 Mei tahun lalu, Sharifah Mastura, suami dan 11 ahli keluarganya tinggal sehelai sepinggang selepas rumah tradisi yang didiami mereka musnah dijilat api.

Bagaimanapun dalam kejadian tersebut, semua ahli keluarganya selamat termasuk suaminya yang diserang ahmar dan cucunya yang berkeperluan khas.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Nor Hisham Mohamad berkata, kerja-kerja membina rumah yang terbaharu di bawah NBOS ini telah mencatatkan “rekod paling pantas” yang pernah dilaksanakan oleh pasukannya.

“Ia hasil komitmen pasukan yang ditubuhkan untuk membinanya.

Menurutnya, dana untuk membina rumah di Sabah dan Sarawak di bawah inisiatif NBOS7 ini diperoleh daripada Kementerian Luar Bandar dan Pembangunan Wikayah serta Unit ICU di Jaatan Perdana Menteri.

“JBPM hanya menyediakan pasukan untuk membinanya dan merancang segala keperluan yang ada.

Setakat ini katanya, JBPM Sarawak telah berjaya menyiapkan empat buah rumah termasuk satu di Lundu, Mukah dan Limbang manakla empat lahi rumah di Simunjan, Betong dan Sibu dalam proses perancangan. – Sarawakvoice.com