50 maut serangan kelab gay di Orlando oleh lelaki dipercayai ada hubung kait dengan ISIS

ORLANDO, Amerika Syarikat: Sekurang-kurangnya 50 orang maut apabila seorang lelaki melepaskan tembakan rambang di dalam sebuah kelab malam gay dekat sini, pada awal pagi Ahad lalu, dalam insiden yang disifatkan sebagai serangan maut terburuk di Amerika Syarikat sejak peristiwa 9/11.

Screen-Shot-2016-06-12-at-11.28.57-AM-463x620Memetik agensi berita CNN, penembak tersebut dikenal pasti sebagai Omar Mateen, 29 tahun dari Fort Pierce, Florida dan beliau telah menghubungi talian kecemasan 911 ketika melakukan serangan tersebut.

“Beliau juga mengakui mempunyai hubungan dengan ISIS serta mengaitkan serangannya dengan peristiwa serangan bom terancang Marathon Boston,” kata agensi itu lagi.

Mateen memasuki Kelab Malam Gay Pulse pada jam 2 pagi pada Ahad dengan membawa raifal dan pistol sebelum memulakan tembakan rambang yang membunuh 50 orang dan mencederakan sekurang-kurangnya 53 orang, kata polis tempatan.

Selepas tiga jam melakukan kepungan, dengan ramai yang terperangkap di dalam kelab dalam keadaan terdesak dan terancam , polis merempuh masuk ke dalam bangunan kelab malam tersebut dengan kenderaan armor dan bom pegun sebelum berjaya menambak mati Mateen.

“Beliau melakukan ini secara terancang,” kata Ketua Polis Orlando, John Mina pada awal Ahad, sambil mengesahkan aksi yang dilakukan itu adalah secara berseorangan.

Bimbang akan ancaman letupan, polis telah mengarahkan lebih 200 penduduk mengosongkan kompleks apartmen dalam radius yang berbahaya.

Setakat ini katanya, tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab terhadap serangan ini. Presiden Obama dalam ucapannya secara langsung yang disiarkan di seluruh Amerika Syarikat mendakwa ia merupakan jenayah kebencian.

Omar Mir Seddique Mateen dilahirkan pada 1986 di New York dan penah tinggal di Fort Pierce, tidak jauh dari lokasi pengeboman tersebut. Ibu bapanya berasal Afghanistan.

Mateen berkahwin dengan seorang wanita Uzbekistan pada tahun 2009 berdasarkan pendaftaran perkahwinan namun telah memfailkan penceraian pada tahun 2011.

Bekas isterinya, Sitora Yusufiy berkata, dia bersama-sama Mateen hanya untuk tempoh empat bulan namun mengambil masa yang panjang untuk menyelesaikan perceraian kerana masing-masing tinggal berasingan selepas berpisah.

Mateen dikatakan seorang suami yang baik ketika awal perkahwinan tetapi mula mendera isterinya selepas beberapa bulan perkahwinan.

Beliau pernah bekerja pada tahun 2007 sebagai pegawai keselamatan di G4S Secure Solitions – salah sebuah syarikat keselamatan terbesar dunia.

Menurut ibu bapa Mateen, beliau berkelakuan pelik selepas melihat dua lelaki berciuman di Miami tetapi mereka menyifatkan beliau sekadar seorang yang kuat beribadah dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan ISIS.

Pada sidang media pada petang Ahad, Ejen Khas FBI, Ronald Hopper berkata, pihaknya sedar akan kewujudan Mateen dan pernah merakamkan percakapannya pada tahun 2013 dan 2014 berikutan simpatinya terhadap pejuang berani mati.

Sejak dua minggu lalu, Mateem telah membeli secara sah sepucuk pistol Glock dan senjata panjang, ujar Ejen Khas Trevor Velinor.

“ Tetapi kita tidak tahu ia digunakan untuk tujuan serangan,” katanya lagi. – Sarawakvoice.com