PKR tidak akan patah semangat

0
4

KUCHING: Keupayaan hanya memenangi tiga kerusi pada pilihan raya negeri ke-11 baru-baru ini tidak mematahkan semangat pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri Sarawak.

Sebaliknya, Baru Bian mahu memastikan parti pimpinannya itu terus melangkah ke hadapan dengan memperkukuh kekuatannya dengan merencanakan strategi baharu yang lebih ampuh.

Pada 7 Mei, PKR hanya dapat mempertahankan tiga kerusi dimenanginya pada 2011, iaitu Ba’ Kelalan, Krian dan Batu Lintang walaupun ia bertanding di 40 kerusi.

13350249_282656452069234_7738000302138108881_oBaru berkata, PKR tidak akan hilang arah atau terus terbelenggu dengan pelbagai masalah dan hambatan yang dihadapinya pada 7 Mei.

Sambil mengakui bahawa kemenangan Barisan Nasional pada pilihan raya itu sebahagiannya adalah disebabkan  sekatan dikenakan terhadap pemimpin pembangkang oleh kepemimpinan negeri, namun beliau mahu PKR terus bangkit.

Katanya dalam sidang akhbar di sini semalam: “Kami tidak akan patah semangat, sebaliknya akan terus bekerja kuat bagi meneruskan perjuangan bagi menghadapi pilihan raya akan datang.”

PKR bukan sahaja berdepan masalah pertindihan enam kerusi dengan DAP, tetapi juga kekangan dari segi sumber berbanding BN.

Pengerusi PKR Sarawak itu berkata, sindrom ketakutan dalam kalangan pengundi luar bandar turut menyumbang kepada kekalahan calon PKR.

Pengundi luar bandar di Sarawak yang kurang berpendidikan dan mempunyai tahap celik politik yang rendah mudah diancam, termasuk bantuan akan ditarik balik, tidak menikmati projek pembangunan dan subsidi kerajaan dan sebagainya.

Dua per tiga daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri Sarawak terletak di luar bandar dan pedalaman.

Pengundi luar bandar sering dianggap sebagai simpanan tetap Barisan Nasional walaupun hakikatnya kekalahan di Krian, Ba’ Kelalan dan kemenangan dengan majoriti kecil oleh calon BN di sekitar sembilan kerusi luar bandar, termasuk Ngemah dan Telang Usan, tidak semestinya menggambarkan bahawa pengundi di kawasan terbabit penyokong tegar dan setia BN. – Sarawakvoice.com