Saturday, December 3, 2022

Mahathirkah faktor-x pembangkang itu dalam PRK ini

Secara Rawak

SUNGAI BESAR: Berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar minggu ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad secara terbuka menyeru pengundi Sungai Besar dan Kuala Kangsar menyokong calon Pakatan Harapan yang diwakili Amanah.

13423883_1122882624450213_6366033003749004558_nDalam ceramahnya Mahathir turut menyelar tindak-tanduk PAS yang cuba melamar Umno demi memerlukan sokongan selepas ia keseorangan.

PAS baginya dahagakan sokongan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak, justeru bagi beliau PAS tidak akan mengkritik Najib dan dasar Najib.

Mahathir mengisytiharkan sokongan beliau terhadap calon Amanah, Azhar Abdul Shukur yang menandatangani Deklarasi Rakyat yang diperjuangkan veteran politikus itu.

Mahathir mahu PRK tersebut menjadi platfom bagi referendum untuk menolak kepimpinan Najib.

Bahkan, Mahathir garang menuduh bahawa mustahil penyokong Najib tidak tahu tentang apa-apa perkara yang telah berlaku, “atau mereka ada ‘dedak’ dalam mulut mereka,” tudingnya keras.

Kempen PAS di PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar dibayangi dakwaan bahawa wujud kerjasama intim antara PAS-Umno meskipun pemimpin tertinggi parti tersebut terus menafikannya.

Menyahut pengakuan Mahathir bahawa beliau bukan lagi ahli mana-mana parti, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula berdoa agar Mahathir kembali kepada Umno sebelum menghembur nafas terakhirnya, sebagaimana beberapa presiden sebelum ini yang juga pernah “merajuk”.

Selain Tun Abdul Razak Hussein yang meninggal dunia ketika masih bertugas sebagai perdana menteri, tiga lagi pemimpin tertinggi parti itu – Datuk Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj dan Tun Hussein Onn – meninggal dunia di luar Umno.

Mahathir keluar Umno awal 2016 bersama-sama isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali sebagai memprotes kepimpinan Najib.

Beliau melancarkan gerakan “Selamatkan Malaysia” dan aktif mengumpul tandatangan Deklarasi Rakyat bertujuan menurunkan perantisnya, Najib dari kerusi PM.

Zahid, ahli parlimen Bagan Datoh itu menambah Mahathir cuba membakar kelambu disebabkan beliau berada pada satu persimpangan politik untuk menguji sejauh mana populariti beliau bertahan.

Sementara itu, Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussien pula meluahkan tanda tanyanya dari segi rasionalnya Mahathir turun padang memberikan sokongan kepada Amanah.

Kata Hishammuddin yang juga anggota Parlimen Semberong, “(Saya) pelik sebab peringkat awal Tun (Mahathir) kata dia sokong pembangkang untuk kalahkan BN, tapi sekarang nampak Tun hanya sokong Amanah saja (sedangkan) PAS pun pembangkang juga.

Bagi Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa pula, Mahathir kini dilihat sanggup menghina anggota Umno dan terlupa bahawa pemimpin dan anggota Umnolah yang banyak berkorban mempertahankannya semasa memegang jawatan presiden parti itu.

“Jangan hina 191 Ketua Bahagian (Umno) makan dedak, kami ada bahagian untuk bina dan tentukan kuasa pemimpin negara ini,” kata Annuar

Annuar turut menyelar bagaimana Mahathir dapat menyelamatkan Umno jika pada masa yang sama beliau sanggup bekerjasama dengan DAP dan Amanah.

“Tun Mahathir letak Umno dan PAS lebih rendah daripada DAP dan Amanah,” kata Annuar.

Bagi Annuar, dari segi kebebasan, zaman Najib lebih bebas dan telus berbanding zaman Mahathir yang di bawah kuasa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Pencegahan Rasuah.

Mahathir sudah pun bersuara ketika suara orang kuat Pakatan Rakyat (dahulu) atau Pakatan Harapan (kini), Datuk Seri Anwar Ibrahim disimpan di sebalik jeriji besi Penjara Sungai Buloh.

Ada benarnya tudingan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar bahawa Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali lemah kokoknya dalam dua PRK ini.

Padahal ramai melihat suara Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR adalah menyamai suara Anwar.

Malah, ada yang melihat dua PRK ini mampu menguji populariti dan kekuatan Azmin. Namun Azmin tidak melakukan semaksimum mungkin peluang yang ada ini. Kenapa dan mengapa?

Lantaran jika Anwar bukan faktor-x yang mampu melonjakkan sokongan rakyat kepada pembangkang atau mampu mengajak pembangkang bersatu di meja bulat lagi, siapa pula yang dapat mengambil alih peranan tersebut?

Azmin juga seperti sengaja tidak mahu memahkotakan faktor-x di kepalanya.

Maka ketika kempen seminggu sudah berlalu, kemunculan Mahathir untuk baki kempen bersisa seminggu lagi — masih berbisa lagikah sengat otai politik ini untuk menjulang kekuatan kem pembangkang ketika beliau mengisytiharkan bukan ahli mana-mana parti politik?

Faktor-x bukan setakat bertujuan mengasak dalam PRK ini, tetapi harus dilihat sebagai tenaga yang menyatukan pembangkang untuk dilihat merealisasikan politik “sistem dua parti”.

Anwar seperti sudah lama merenung dari jeriji besi bahawa berdasarkan rekod kecemerlangan bekas bosnya itu, Mahathir belum menggunakan seluruh kejutan yang dimilikinya dalam peperangan terbaru ini.

Justeru, Anwar dan Warkah Dari Penjara tidak dapat dipisahkan mempunyai interprestasi menilik masa depan. Mahathirkah faktor-x itu? yang mungkin digeruninya atau yang pernah dikatakannya sebelum ini bahawa, “dalam politik musuh boleh berganti menjadi kawan, dan kawan boleh bertukar menjadi lawan”! – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru